Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Seramai 2,056 atau 57.61 peratus guru Tingkatan Enam dan Lima di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Salim Ab Ghani berkata, seramai 1,533 lagi guru Tingkatan Enam dan Lima menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Katanya, seramai 1,589 guru Tingkatan Lima dan 467 guru Tingkatan Enam dari semua sekolah menengah di negeri ini sudah mendapatkan suntikan vaksin sebagai persediaan awal pembukaan sekolah yang akan diumumkan kerajaan.

"Jumlah keseluruhan guru Tingkatan lima di negeri ini adalah seramai 2,882, manakala 687 adalah guru Tingkatan Enam.

"Suntikan vaksin ke atas guru Tingkatan Enam dan Lima akan dilakukan secara berperingkat, tetapi kita memberi jaminan semua guru berkenaan akan mendapat suntikan sebelum pembukaan sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menerima sumbangan insentif khas untuk 314 pelajar yang mendapat keputusan semua A, pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di pejabat Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), di sini, hari ini.

GAMBAR fail. Foto Bernama
GAMBAR fail. Foto Bernama

Majlis penyampaian sumbangan insentif khas berjumlah RM314,000 disampaikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Mohd Zaid Sulaiman dan Timbalan Pengurus Besar Ketengah (Operasi), Ahmad Fakharuddin Ahmad.

Mengulas lanjut, Salim berkata, keutamaan suntikan vaksin Covid-19, melalui fasa pertama diberikan kepada guru tingkatan lima dan enam bertujuan sebagai persediaan awal sebelum pembukaan sekolah untuk semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Mengenai calon peperiksaan SPM dan STPM, Salim mengesahkan, nama pelajar sudah didaftarkan untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Sehingga Rabu lalu, seramai 20,000 calon peperiksaan SPM serta STPM sudah didaftarkan dan akan dipanggil untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Berdasarkan maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM), semua calon peperiksaan SPM dan STPM akan menerima suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dan pengajaran secara bersemuka bermula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 8:44 AM