AYOB Khan.
AYOB Khan.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Penubuhan sebarang suruhanjaya bagi memantau tatatertib dan salah laku Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), perlu mengikuti Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan, beliau secara peribadi tiada masalah terhadap cadangan supaya badan bebas ditubuhkan untuk memantau tatatertib serta salah laku anggota PDRM.

"Bagaimanapun penubuhan sebarang jawatankuasa atau suruhanjaya itu mestilah ikuti apa yang digariskan Perlembagaan Persekutuan.

"Jika kita teliti Perkara 140 di bawah Perlembagaan Persekutuan, kuasa memantau PDRM ini terletak di bawah kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

"Jika mahu buat sesuatu jawatankuasa atau suruhanjaya bebas, kena pinda Perlembagaan Persekutuan dahulu. Rukun Negara yang ketiga dan keempat secara jelas menyebut, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, maka ia perlu dipatuhi.

"Jika tiba-tiba hendak buat satu suruhanjaya yang bertentangan dengan Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, itu sudah nampak bertentangan Perlembagaan. Sebab itu sebelum ini majoriti anggota PDRM tidak setuju dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang sudah pun ditarik balik tahun lalu, berikutan pemusatan kuasa terlalu luas dan tidak mengambil kira prinsip keadilan terhadap anggota dan pegawai," katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara radio MACC.fm, bertajuk Menjaga Pertiwi Berpaksikan Integriti, hari ini.

Tahun lalu, media melaporkan RUU IPCMC ditarik balik dan diganti dengan RUU baharu, iaitu IPCC, yang sama maksudnya pada sesi Dewan Rakyat 26 Ogos, tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata RUU baharu yang diubah suai itu sudah dipersetujui Kabinet.

Sementara itu, Ayob Khan menafikan persepsi menyatakan beliau dilihat berseorangan dalam memperjuangkan isu integriti anggota PDRM.

Sebaliknya, katanya isu itu menjadi fokus utama PDRM yang digariskan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

"Tidak, saya tidak berseorangan. Paling penting isu integriti adalah fokus utama PDRM yang ditetapkan Ketua Polis Negara.

"Jadi tidak timbul isu saya berseorangan. Sememangnya dalam PDRM amat menekankan aspek integriti. Ia amat penting, jika ada masalah integriti dalam organisasi kita, bagaimana nak laksanakan tanggungjawab yang lagi penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 5:44 PM