MEOR Chek Hussien Mahyuddin. FOTO arkib NSTP
MEOR Chek Hussien Mahyuddin. FOTO arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid


PASUKAN teknikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus menyelaraskan semua bidang kuasa dengan lebih teliti sebelum kertas penubuhan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dikemukakan kepada Parlimen.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin berkata, semua keraguan yang timbul berkenaan penubuhan IPCMC perlu dibincang, diterangkan dan diperkemas supaya tidak berlaku pertindihan tugas antara suruhanjaya itu dan juga Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM (JIPS).

“Saya percaya semua ketua institusi sepert Ketua Polis Negara (KPN) dan juga semua pesara polis tidak akan membiarkan PDRM menjadi lemah dan musnah.

“Sebaliknya, kita mahu melihat PDRM terus maju ke hadapan dengan megah, bergaya dan berwibawa selain sistem ‘command dan control’ dalam PDRM harus dikekalkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed semalam berhubung penubuhan IPCMC yang akan diteruskan selepas ia mendapat persetujuan daripada PDRM.

Persetujuan itu katanya, dicapai melalui perbincangan antara GIACC dengan 20 wakil jabatan PDRM dan persatuan polis diketuai KPN, Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Perdana Putra, Putrajaya semalam.

Bagaimanapun, Abu Kassim berkata, terdapat beberapa perkara yang perlukan sedikit perbincangan dalam masa seminggu dua sebelum kertas Kabinet berhubung penubuhan IPCMC dijangka dikemukakan selepas Aidilfitri.

Jelasnya, IPCMC tidak lebih daripada peranannya sebagai pihak berkuasa tatatertib, tidak mempunyai kuasa mendakwa kes jenayah atau kes lain selain daripada tatatertib dan JIPS masih berperanan untuk menjalankan siasatan.

Sebelum ini,Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) dan lapan persatuan pesara polis menolak penubuhan IPCMC kerana didakwa mengambil fungsi dan peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang termaktub dalam Artikel 140 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut,Meor yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) RESPA berkata, beliau secara peribadi gembira sekiranya penubuhan IPCMC tidak lebih daripada peranannya sebagai pihak berkuasa tatatertib.

“Kalau itulah pencerahan mereka, memang bagus kerana memang selama ini pun banyak tindakan yang diambil JIPS terhadap pegawai dan anggota.

“Maknanya bukannya JIPS itu lemah, cuma orang ramai tak dapat lihat tindakan yang dibuat itu walaupun adayang dibuang kerja, diturunkan pangkat dan macam-macam lagi bentuk tindakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 2:23 PM