Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah sedang memantau keadaan dandang yang terbakar lalu meletup di sebuah kilang kuari batu, dekat Temoh,semalam. FOTO Ihsan JBPM
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah sedang memantau keadaan dandang yang terbakar lalu meletup di sebuah kilang kuari batu, dekat Temoh,semalam. FOTO Ihsan JBPM
Rosman Shamsudin


Ipoh: Kerja penyelenggaraan dandang di kilang kuari batu di Temoh, dekat sini dihentikan ekoran kejadian letupan yang mencederakan tiga lelaki, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata arahan itu berkuat kuasa serta merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

"Siasatan awal mendapati dandang jenis 'thermal oil heater' yang sedang dalam proses 'start-up' untuk beroperasi meletup dan mengakibatkan kerosakan pada bahagian pintu dan sebahagian daripada komponen 'furnace' 'thermal oil heater'.

"Letupan menyebabkan 'burner' tercabut dari kedudukan ia dipasang. Jentera 'thermal oil heater' berfungsi untuk membekalkan sumber haba ke dalam 'dryer' bagi tujuan mengeringkan arang batu yang digunakan sebagai bahan bakar di dalam jentera 'kiln'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat perlanggaran di bawah peruntukkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Kita memandang serius setiap kemalangan yang membabitkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab mengenalpasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan membuat kawalan risiko yang berkesan sebelum menjalankan aktiviti kerja.

"Langkah ini sebenarnya bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelak berlakunya kejadian kemalangan," katanya.

Zamzurin berkata, kejadian seperti ini boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan berdasarkan Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Semalam, Harian Metro melaporkan tiga lelaki cedera termasuk seorang melecur pada bahagian muka iaitu seorang jurutera dan dua juruelektrik apabila dandang meletup di kilang kuari batu dekat Temoh.

Dalam kejadian berkenaan, dua mangsa yang berumur 41 dan 44 tahun hanya cedera ringan manakala seorang lagi mangsa yang berumur 30 tahun melecur di bahagian muka.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 4:51 PM