MUHAMMAD Firdaus melihat kenderaan yang bakal dilelong. FOTO Nuraliawati Sabri
MUHAMMAD Firdaus melihat kenderaan yang bakal dilelong. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menyasarkan RM1.5 juta hasil daripada lelongan kenderaan, awal September ini.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, lelongan itu membabitkan 46 kenderaan termasuk Mini Cooper dan Subaru Impreza.

Beliau berkata, sebut harga akan dibuka selama dua minggu bermula pada 6 hingga 20 September dan borang boleh dimuat naik menerusi Facebook dan juga laman web JPJ.

"Lelongan kali ini dibuat menerusi sebut harga dan kita menjangkakan kira- kira 60 orang awam akan membida untuk kenderaan terbabit dengan nilai antara RM2,500 hingga RM10,000.

"Hasilnya kita menyasarkan akan memperoleh kira-kira RM1.5 juta selain untuk kali ini hanya membabitkan motokar sahaja, tiada motosikal dan kesemua kenderaan ini boleh didaftarkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kaunter pandu lalu, di Ibu Pejabat JPJ negeri di Bukit Katil, hari ini.

ANTARA kenderaan yang bakal dilelong. FOTO Nuraliawati Sabri
ANTARA kenderaan yang bakal dilelong. FOTO Nuraliawati Sabri

Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, bagi mengelakkan kesesakan ketika orang awam berurusan dengan pihaknya, satu kaunter pandu lalu dibuka JPJ Melaka yang beroperasi tujuh hari seminggu.

"Kaunter pandu lalu itu tidak memerlukan sebarang janji temu dan orang awam boleh hadir untuk pelbagai urusan seperti pembaharuan lesen kenderaan, lesen memandu dan cukai jalan termasuk bayaran saman .

"Kaunter ini juga memudahkan pelanggan kita yang menggunakan sistem atas talian yang hanya perlu hadir dan mengambil cetakan seperti lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 4:30 PM