GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan permohonan kepada agensi keselamatan luar negara bagi menyiasat dakwaan berhubung dua rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan.

Ketua Polis Negara Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedia maklum mengenai laporan berita bahawa dua rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan susulan pembabitan mereka sebagai pejuang kumpulan militan Negara Islam (IS).

"Setakat ini, PDRM tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penglibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti IS di Afghanistan.

"Bagaimanapun, PDRM sudah mengemukakan permohonan kepada agensi-agensi keselamatan luar negara bagi mengesahkan laporan serta dakwaan berkenaan.

"Siasatan juga sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilaporkan itu membabitkan pejuang IS warganegara Malaysia yang sudah sedia ada berada di luar negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan pihak berkuasa Taliban menahan enam individu termasuk dua rakyat Malaysia yang dikaitkan sebagai pejuang IS dalam pertempuran bersenjata di Kabul, Afghanistan, Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 11:37 PM