TALIBAN tidak sekejam seperti gambaran propaganda Barat, kini mereka cuba pulihkan pentadbiran dan ekonomi Afghanistan.
TALIBAN tidak sekejam seperti gambaran propaganda Barat, kini mereka cuba pulihkan pentadbiran dan ekonomi Afghanistan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


BAHAGIAN 2

BERCERITA mengenai Afghanistan, tidak lengkap tanpa penulis menyentuh topik sisi luka perang tinggalan tentera Amerika Syarikat (AS) di bumi bergolak ini.

Tempoh empat bulan sejak tentera AS 'cabut lari' meninggalkan Afghanistan Ogos lalu jelas banyak menghimpunkan kisah derita dan kebencian rakyatnya terhadap penjajahan moden.

Penulis yang menelusuri kota ini dapat melihat ratusan kenderaan perisai model Humvee versi M1151 dan M1152 milik tentera AS bersepah ditinggalkan di banyak lokasi.

Semua kenderaan rosak ini ibarat 'tugu' besi buruk yang kini menjadi bukti kekejaman tentera asing sepanjang tempoh dua dekad mereka menakluk negara itu.

Kenderaan dan kereta perisai ini mudah dilihat kerana ditinggalkan di pintu masuk bangunan kementerian, lokasi sekatan dan pemeriksaan keselamatan di tengah bandar Kabul.

Turut kelihatan deretan binaan tembok konkrit setinggi lebih lima meter dibina tentera penakluk ini bagi melindungi kem, hospital tentera AS selain bangunan pentadbiran di ibu kota Kabul.

Sekali pandang ia tidak ubah seperti tembok batu dibina Zionis bagi mengepung penduduk Palestin. Mungkin idea sama diterapkan selepas mereka diasak teruk tentera Taliban.

Kewujudan tembok ini membuktikan tentera asing hidup dalam ketakutan walaupun dilengkapi segala macam teknologi dan senjata ketenteraan hebat. Itu semua bukan jaminan mereka mampu pulang hidup-hidup ke negara asal.

PANORAMA menarik sepanjang perjalanan penulis menuju ke pedalaman Shahmazar, Logar, Afghanistan.
PANORAMA menarik sepanjang perjalanan penulis menuju ke pedalaman Shahmazar, Logar, Afghanistan.

Fakta membuktikan seramai 2,448 anggota tentera dan Jabatan Pertahanan AS termasuk 1,144 tentera bersekutu terbunuh sepanjang tempoh mereka berada di Afghanistan.

Bukan hanya kehilangan nyawa malah kerajaan AS membelanjakan AS$2.26 trilion untuk perang di Afghanistan sejak 2001

hingga September lalu. Satu angka gila yang kini dianggap pembaziran AS.

KAWASAN perumahan dibina di tebing bukit sekitar Jamal Mina di Kota Kabul menggunakan lumpur dan bata.
KAWASAN perumahan dibina di tebing bukit sekitar Jamal Mina di Kota Kabul menggunakan lumpur dan bata.

Pada hari kelima berada di negara ini, penulis dan delegasi misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia (MCM) dan Yayasan Amal Malaysia sempat keluar dari bandar Kabul menuju ke Shahmazar, Logar.

Matlamat MCM bagi memastikan projek 61 telaga tiub yang mahu dibina di kawasan pedalaman itu dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Bagi MCM, mereka perlu bukti nyata supaya duit didermakan rakyat Malaysia benar-benar digunakan sebaik mungkin.

Perjalanan dengan menaiki bas mini menuju ke Shahmazar mengambil masa hampir lima jam. Di sepanjang laluan, penulis disajikan pemandangan musim luruh dengan tona warga hampir sama iaitu coklat.

Tiada pokok menghijau melainkan daun berguguran dan menanti masa untuk kedatangan salji tidak lama lagi.

Panorama bukit-bukau dan lembah pertanian melatari sepanjang perjalanan. Cukup indah apatah lagi dalam suasana kedinginan sekitar 2 darjah Celsius. Sesekali bas dinaiki penulis melintasi jambatan dengan air sungai mengalir deras di bawahnya.

BERKESEMPATAN menemui Menteri Syuhadah dan Orang Kurang Upaya Afghanistan, Abdul Majeed Akhund yang sebelum ini pernah melakukan perang gerila terhadap tentera Rusia dan AS.
BERKESEMPATAN menemui Menteri Syuhadah dan Orang Kurang Upaya Afghanistan, Abdul Majeed Akhund yang sebelum ini pernah melakukan perang gerila terhadap tentera Rusia dan AS.

Cukup memukau kalbu. Ini antara keindahan Afghanistan yang kurang diberikan pendedahan media asing melainkan gambaran perang dan letupan bom.

Beberapa lokasi panas yang pernah menjadi medan tempur tentera AS dan Taliban turut dilalui penulis. Tiada lagi wajah kebimbangan penduduknya apabila kanak-kanak riang bermain dan bersekolah.

Wanitanya masih bebas bergerak tanpa ada rasa gusar walaupun tentera Taliban berkawal di merata lokasi.

Kehadiran mereka tidak langsung dianggap ancaman. Malah tidak pernah sekali pun penuli

s ditahan Taliban walaupun menyedari kami bukan rakyat tempatan.

Jelas sekali label buruk diberikan media barat kononnya Taliban adalah kumpulan pejuang ekstremis dan pengganas tidak boleh diterima bulat-bulat. Beberapa penduduk asal Afghanistan yang ditemui penulis memberitahu Taliban kini atau digelar 'new Taliban' adalah penjaga negara dan rakyat sebenar.

"Mereka berjuang untuk kemerdekaan Emiriah Islam Afghanistan (IEA). Mereka bukan pencuri sumber semula jadi Afghanistan seperti negara Barat.

ANTARA kenderaan perisai model Humvee ditinggalkan tentera AS di sekitar kota Kabul.
ANTARA kenderaan perisai model Humvee ditinggalkan tentera AS di sekitar kota Kabul.

"Ketika Taliban berjaya menguasai Kabul Ogos lalu, ribuan warga Afghanistan keluar dan bersorak di jalanan. Mereka disambut sebagai wira negara," ujar Baish Khan Shasaq, 25.

Seorang pejuang Taliban yang sempat ditemui penulis ketika berada di Adimazar jelas begitu mesra dan mudah ditemu bual walaupun tangannya erat membawa rifel AK-47.

"Saya dan senjata ini tidak berpisah sejak 20 tahun lalu. Walaupun selepas tentera AS berundur. Saya masih membawanya ke mana-mana.

"Namun saya juga sama seperti anda, ada keluarga dan anak yang bersekolah. Kami tidak dibayar gaji tetapi berjuang selama ini untuk kemerdekaan Afghanistan. Kami juga Ahli Sunah Waljamaah...berjuang untuk syiar Islam," kata Ahmadiah Khuber Ahmad Yar Khobab, 32.

Bukan memuji namun rata-rata pejuang Taliban ditemui penulis mempunyai beberapa persamaan ketara. Mereka mempunyai wajah bersih berseri-seri dan cukup tenang. Mungkin ia cahaya keimanan daripada amalan dilakukan. Wallahualam.

Malah beberapa menteri Taliban yang sempat ditemui penulis

antaranya Menteri Luar Negeri, Amir Khan Mutaqqi; Gabenor Herat, Noor Mohammad Islamjar; Menteri Syuhadah dan Ora

ng Kurang Upaya Afghanistan, Abdul Majeed Akhund dan Timbalan Gabenor Wilayah Logar, Syeikh Enamullah sentiasa memegang tasbih di jari. Ada 'nur' di wajah dengan setiap kata-kata dilafazkan cukup lembut dan penuh berhemah.

Pengalaman bertemu tokoh tokoh Taliban ini cukup mengagumkan. Walaupun dikawal ketat pengawal bersenjata, kedatangan penulis sentiasa disajikan teh panas dan kismis serta badam.

Sekali pandang, tiada siapa percaya semua mereka ini pernah berperang dengan tentera Rusia dan Amerika Syarikat sejak 40 tahun lalu.

Mereka pernah bersembunyi di celah batu bukit dan gua malah ada antaranya cacat akibat dibom tentera AS. Ini dapat disaksikan sendiri penulis apabila Abdul Majeed menunjukkan kaki kirinya yang hilang kesan letupan roket disasarkan tentera AS kepadanya.

Dapat disimpulkan penulis, Taliban kini tidak sekejam dibayangkan melalui propaganda Barat. Selepas mengambil alih negara itu, mereka cuba memulihkan semula pentadbiran dan ekonomi melalui pelbagai pendekatan.

Walaupun hampir 20 juta penduduk negara itu berdepan krisis makanan akut dan 'di ambang kebuluran', hubungan baik Taliban dengan negara luar seperti China, Iran, Turki, Jerman serta Pakistan memungkinkan negara ini 'bangkit' semula selepas sekian lama dirosakkan oleh penjajah.

Moga keindahan Tasik Qargha di Kabul akan terus

kekal dan penulis dapat ke sini lagi suatu hari nanti,

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 7:00 AM