Pejuang Afghanistan mengangkat senjata mereka untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara itu bagi melawan Taliban. FOTO AFP
Pejuang Afghanistan mengangkat senjata mereka untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara itu bagi melawan Taliban. FOTO AFP
AFP

Kabul: Taliban mendakwa sudah menguasai 85 peratus kawasan Afghanistan ketika tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari negara yang dilanda perang itu.

Perkara itu diumumkan selepas beberapa jam selepas Presiden Joe Biden mengeluarkan kenyataan mempertahankan penarikan tentera AS dari negara berkenaan

Taliban berkata, pejuangnya merampas dua sempadan di barat Afghanistan dan berjaya melengkapkan lengkuk wilayah dari sempadan Iran hingga ke perbatasan dengan China.

Sementara itu, di Moscow, delegasi pegawai Taliban berkata, mereka menguasai kira-kira 250 daripada hampir 400 daerah di Afghanistan, dakwaan yang tidak mungkin boleh disahkan secara bebas dan dipertikaikan kerajaan.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid memberitahu AFP, pejuang mereka merampas bandar sempadan Islam Qala di perbatasan Iran dan sempadan Torghundi dengan Turkmenistan.

Manakala Jurucakap Menteri Luar Afghanistan, Tareq Arian berkata, usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkan pemberontak dari kedudukan terbaharu mereka.

Kerajaan Afghanistan berulang kali menolak dakwaan Taliban sebagai tidak mempunyai nilai strategik, namun rampasan pelbagai lintasan sempadan dan kawasan yang kaya dengan mineral kemungkinan akan memberi pendapatan kepada kumpulan itu dengan beberapa sumber pendapatan baru.

Beberapa jam lalu, Biden berkata, misi tentera AS akan berakhir pada 31 Ogos, hampir 20 tahun selepas ia bermula dan dikatakan sudah 'mencapai' matlamatnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui, adalah 'sangat tidak mungkin' bagi Kabul untuk dapat menguasai seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 2:16 PM