PRESIDEN MCM  Zulkifli Wahijan (kiri) bersama Maulana Islamjar.
PRESIDEN MCM Zulkifli Wahijan (kiri) bersama Maulana Islamjar.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kabul: "Adakah membebaskan negara sendiri dari cengkaman penjajah (tentera luar) sejak dua abad lalu dianggap sebagai tindakan pengganas? Siapa sebenarnya di sini yang dizalimi?" ujar pemimpin kanan Taliban yang juga Gabenor wilayah Herat, Afghanistan, Maulana Islamjar.

Sosok tubuh penuh bersemangat itu ditemui penulis dalam sesi 'kunjungan hormat' delegasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia di kediaman khas pemimpin itu, semalam.

Lelaki berusia lewat 40-an itu dilihat begitu gembira menyambut kedatangan kami dikawal berpuluh pejuang Taliban lengkap bersenjatakan rifel M-16 dan AK-47.

Pertemuan lebih sejam itu sekali gus memberikan gambaran perspektif sebenar berhubung isu perjuangan dan visi terkini Taliban dalam membangunkan semula Afghanistan.

Berdasarkan maklumat diperoleh, Maulana Islamjar amat dikenali masyarakat sebagai ulama pakar hadis, alim dan mempunyai semangat juang kental bagi membebaskan Afghanistan dari penguasaan tentera luar.

Ditanya berhubung pelbagai berita media barat menggambarkan Taliban sebagai pengganas dan ektremis agama, beliau hanya tersenyum dan memberitahu ia hanyalah propaganda 'fiksyen' barat untuk memburukkan Islam.

"Sebagai warganegara asal Afghanistan adalah wajib bagi kami mengembalikan semula pemerintahan Islam selain menentang golongan pemimpin korup.

"Ini adalah kemerdekaan sejati dan kami (rakyat Afghanistan) perlu bersatu hati untuk memastikan ia dapat dikekalkan. Saya menyeru kepada negara di luar sana khususnya Malaysia untuk segera mengisytiharkan kedaulatan kerajaan baharu ini dikenali sebagai kerajaan Islam Emirate Afghanistan," katanya.

Maulana Islamjar turut melihat pelbagai potensi pelaburan dan aktiviti perlombongan yang boleh diusahakan di negara ini dalam memastikan keuntungan dapat dikongsikan bersama.

"Adalah penting untuk negara ini memiliki kepakaran dalam sudut sains dan teknologi supaya terus maju untuk masa depan generasi akan datang," katanya yang gembira dengan sumbangan diberikan deligasi Care4Afghan diketuai presiden MCM Zulkifli Wahijan.

PENULIS dan wakil NGO bertemu Gabenor Wilayah Herat, Maulana Islamjar yang juga pemimpin Taliban terkenal.
PENULIS dan wakil NGO bertemu Gabenor Wilayah Herat, Maulana Islamjar yang juga pemimpin Taliban terkenal.

Menurutnya, Afghanistan memiliki sumber tenaga kerja mencukupi dengan bilangan penduduk seramai 40 juta orang, sumber minyak dan gas yang masih belum diterokai serta pelbagai hasil bumi yang sewajarnya boleh diterokai bersama.

"Saya amat mengharapkan sokongan negara luar terutama negara Islam dalam berkongsi kepakaran dan teknologi yang ada bagi membangunkan semula negara ini yang dijajah berpuluh tahun lamanya.

"Selain itu, saya berharap ada negara yang sudi menawarkan biasiswa kepada pelajar di negara ini bagi memastikan golongan terpelajar dan profesional di negara ini bertambah," katanya.

Penjelasan diberikannya itu jelas membuktikan kerajaan baharu pimpinan Taliban lebih terbuka dan memiliki visi dan misi untuk membawa Afghanistan menjadi negara Islam berdaya saing.

Sementara itu wakil deligasi, Senator Sr Mohd Apandi Mohamad berkata, Malaysia cenderung mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan hasil beberapa perbincangan dilakukan sebelum ini.

"Ketika ini Malaysia menunggu ketetapan Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) dan dalam masa sama menyokong sebarang usaha NGO memberikan sumbangan kepada rakyat negara berkenaan," katanya.

TENTERA Taliban mengawal bandar Kabul dengan membawa senjata.
TENTERA Taliban mengawal bandar Kabul dengan membawa senjata.

Imej buruk Taliban hanya 'fiksyen' media barat

"Tidak ada wanita dizalimi atau tangan pencuri dipotong Taliban ketika ini. Apa yang dibawa Taliban adalah keamanan diimpikan seluruh rakyat Afghanistan sejak dua dekad lalu," ujar salah seorang pejuang Taliban, Abdul Maleek Jabar, 47.

Menurutnya, imej buruk yang sengaja dikaitkan dengan Taliban melalui media dan filem barat sejak berpuluh tahun lamanya menyebabkan pejuang Taliban dilabel sebagai pengganas dunia serta pelampau agama.

"Ini menyebabkan ramai mengabaikan fakta bahawa Taliban adalah rakyat sebenar Afghanistan yang mahu membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah (Soviet Union dan Amerika Syarikat).

"Peperangan ini sudah tamat. Negara kini kembali aman dan rakyat gembira dengan keadaan kini," katanya ketika ditemuramah wartawan berhampiran Eslam Qal' Eh di sempadan Iran-Afghanistan.

PENULIS bersama salah seorang pejuang Taliban yang lengkap bersenjata di Eslam Qal’ Eh, Afghanistan.
PENULIS bersama salah seorang pejuang Taliban yang lengkap bersenjata di Eslam Qal’ Eh, Afghanistan.

Menurutnya, dia sebelum ini turut terbabit dalam peperangan bagi menguasai bandar Jalalabad, Nangarhar sebelum berjaya menakhluk ibu kota Kabul, Afghanistan awal Ogos lalu.

Kenyataan sama turut dikongsi seorang penyokong Taliban yang menyifatkan pemimpin pelapis Taliban kini lebih bersikap sederhana dan tidak menekan rakyat.

Mohd Shafi Rahmani, 27, berkata, majoriti rakyat meraikan kejayaan Taliban menghalau tentera asing pada pertengahan Ogos lalu.

"Pemerintahan pertama Taliban lebih 20 tahun lalu kerap dimomokkan media Barat dengan kekejaman terhadap wanita, memenggal kepala penjenayah, hukuman rejam sampai mati, paksaan pemakaian burka dan tidak mengizinkan anak perempuan berusia 10 tahun ke atas bersekolah.

"Namun keadaan kini jauh berbeza sejak Taliban kembali ke tampuk kuasa pemerintahan. Golongan wanita bebas bergerak di luar rumah dan saluran televisyen yang menggunakan pembaca berita wanita beroperasi seperti biasa," katanya.

SEORANG pejuang Taliban lengkap bersenjata berkawal di bandar Kabul.
SEORANG pejuang Taliban lengkap bersenjata berkawal di bandar Kabul.

Malah, menurutnya, pemimpin Taliban memaklumkan kepada rakyat bahawa golongan wanita dibolehkan untuk bersekolah dan bekerja dengan mengikut kerangka hukum Islam.

"Anda lihat sendiri keamanan yang kami kecapi kini. Rakyat bebas bergerak, berniaga dan menjalani kehidupan harian seperti biasa di Kabul dan bandar-bandar lain.

"Kelompok pejuang Taliban bertindak menjaga keselamatan di lokasi umum dengan melakukan pemeriksaan rutin sama seperti dilakukan anggota polis," katanya.

Pada Ogos lalu Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menarik semula anggota tenteranya dari Afghanistan sekaligus mengakhiri perang terpanjang negara itu di luar negeri yang berlangsung selama dua dekad.

Selama tempoh itu lebih dari 2,300 nyawa anggota tentera Amerika Syarikat melayang dan puluhan ribu cedera.

Malah, tidak terhitung lagi nyawa warga Afghanistan yang hilang akibat perang itu yang menyebabkan Amerika Syarikat menghabiskan AS$2 trilion untuk membiayai perang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 12:00 PM