GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menarik balik kebenaran 'dine-in' di zon selatan negeri meliputi daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.

Keputusan itu dibuat susulan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 di semua daerah berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap Sekretariat JPBN Sarawak berkata, larangan itu berkuatkuasa selama seminggu bermula Ahad ini hingga 29 Ogos.

Katanya, JPBN turut memutuskan tempoh operasi perniagaan di tujuh daerah terbabit dihadkan mulai jam 5 pagi sehingga jam 8 malam.

"Sepanjang tempoh penguatkuasaan SOP itu, individu atau kumpulan tidak dibenarkan berada di kawasan awam selepas jam 10 malam tanpa alasan munasabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, Sarawak membenarkan pelanggan makan di dalam kedai sejak 16 Julai lalu, susulan kes jangkitan Covid-19 ketika itu yang menunjukkan penurunan.

Bagaimanapun, kes jangkitan di zon selatan Sarawak melonjak semula sejak beberapa minggu lalu dengan hari ini mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 2,548 kes.

Tujuh daerah di zon selatan itu sahaja menyumbang sebanyak 2,283 dari jumlah kes harian itu dengan Kuching sebanyak 1,601 kes, Serian (240), Bau (131), Samarahan (116), Lundu (94), Simunjan (60) dan Tebedu (41).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 7:22 PM