Zaid Salim

Kuala Terengganu: Pelbagai cara menarik dan unik dilakukan rakyat Malaysia untuk meraikan Hari Kebangsaan ke-64 yang berlangsung semalam.

Keluarga di Kampung Pulau Sekati, di sini, melakukan perarakan solo rumah bot berhias Jalur Gemilang dengan menelusuri Sungai Terengganu, kelmarin.

Ramlee Man, 59, mengakui menjadi impian buat keluarganya setiap tahun menelusuri Sungai Terengganu dengan rumah bot miliknya yang dibuat untuk tujuan pelancongan setahun lalu.

"Saya memiliki dua rumah bot dan dua bot gentian kaca dan setiap tahun kami sekeluarga berarak bersama beberapa lagi penduduk kampung menelusuri Sungai Terengganu sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

"Namun, disebabkan pandemik Covid-19, kami memilih untuk belayar secara solo memandangkan sambutan secara konvoi sama ada di darat atau di air tidak dibenarkan.

"Walaupun hanya sebuah, kami sekeluarga tetap puas dan gembira dapat meraikan Hari Kebangsaan tahun ini.

"Pada masa sama, kami juga mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan kerajaan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Ramlee berkata, persiapan untuk sambutan itu dilakukan sejak tiga bulan lalu termasuk membeli bendera lebih awal kerana bimbang kehabisan stok.

Menurutnya, kali ini, dia memasang lebih 200 bendera pelbagai saiz menghiasi bot mereka bagi menunjukkan semangat patriotik yang dipupuk dalam kalangan keluarga sebagai tanda cintakan tanah air.

Rumah bot dinaiki keluarga Ramlee Man, 59, berarak secara solo sambil mengibar Jalur Gemilang menyusuri Sungai Terengganu sebagai meraikan sambutan Hari Kemerdekaan kali ke 64. FOTO ZAID SALIM
Rumah bot dinaiki keluarga Ramlee Man, 59, berarak secara solo sambil mengibar Jalur Gemilang menyusuri Sungai Terengganu sebagai meraikan sambutan Hari Kemerdekaan kali ke 64. FOTO ZAID SALIM

Sementara itu, Siti Maisarah Ramlee, 21, mengakui teruja meraikan hari bermakna itu dengan keluarga.

Katanya, selain mengibarkan Jalur Gemilang, mereka turut memasang lagu patriotik bagi membangkitkan lagi semangat cintakan negara.

"Teruja sebab sebelum ini hanya melihat orang berarak tetapi kali ini berarak sendiri dan dapat menghayati lagi erti kemerdekaan," katanya.

Bagi sepupunya, Nur Anis Baqis Mamat, 18, berkata, walaupun mereka menelusuri sungai Terengganu menaiki bot tetapi mereka sekeluarga gembira dapat meraikan hari yang cukup bermakna itu dalam walaupun dalam suasana norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

"Selain menghayati erti kemerdekaan, kami dapat menikmati pemandangan menarik seperti rumah penduduk di pinggir sungai, monumen di Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal dan jambatan angkat yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu," katanya

Dia berharap pandemik Covid-19 akan berakhir segera supaya dapat meraikan Hari Kebangsaan dengan lebih meriah pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 2:08 PM