AHMAD menyerahkan Jalur Gemilang dan nasi daging bakar kepada Mohd Jafri dan Zaiton di gerainya di Laman Santap, Kampung Solok Duku Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
AHMAD menyerahkan Jalur Gemilang dan nasi daging bakar kepada Mohd Jafri dan Zaiton di gerainya di Laman Santap, Kampung Solok Duku Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Seorang peniaga di pekan ini mengagihkan 1,000 Jalur Gemilang kepada pelanggan di gerainya bagi meraikan Hari Kebangsaan yang disambut di seluruh negara esok.

Bendera berkenaan diagihkan sejak Khamis lalu, bukan setakat untuk membolehkan pelanggan memasang bendera kebangsaan di kediaman masing-masing, malah berkongsi semangat kebangsaan ketika menyambut 31 Ogos.

Ahmad al-Idrisi Mustafar, 26, berkata dia dan rakan kongsi, Majidul Md Jidin, 25, mengambil inisiatif itu selepas menyaksikan orang ramai memasang Jalur Gemilang pada kenderaan dan kediaman masing-masing.

"Kami teruja menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah pada kenderaan dan halaman rumah penduduk kampung dan kami mengambil keputusan mengagihkan 1,000 bendera kebangsaan untuk menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara.

"Walaupun hanya bendera kecil, sekurang-kurannya ia membuktikan kami juga sayang akan tanah air ini dan sanggup berkorban untuk ibu pertiwi," katanya ketika ditemui di Laman Santap, Kampung Solok Duku, di sini, hari ini.

Pelanggan, Mohd Jafri Jaafar, 52, dan isteri Zaiton Saiee, 49, gembira memperoleh Jalur Gemilang ketika mendapatkan nasi kambing bakar daripada Ahmad.

"Kami tidak sangka akan memperoleh Jalur Gemilang di gerai ini dan kami ucapkan terima kasih serta selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada pemilik gerai.

"Mungkin ada pihak menganggap pemberian Jalur Gemilang bersaiz kecil tiada membawa sebarang makna tetapi sekurang,-kurangnya mempamerkan semangat patriotik anak muda yang berniaga di gerai ini untuk meraikan kemerdekaan negara," katanya.

Fauzan Muhammad, 25, berkata dia terkejut apabila diberikan Jalur Gemilang bersaiz kecil ketika hadir untuk mengambil nasi kambing bakar yang dipesannya pagi tadi.

"Secara tidak langsung, pemberian Galur Gemilang mendekatkan kita kepada penghayatan erti kemerdekaan negara daripada penjajah 64 tahun lalu," katanya.

Kasih Yana Azlan, 48, berkata dia menghargai pemberian Jalur Gemilang kerana ia adalah simbol penyatuan rakyat untuk sama-sama menentang musuh negara sama ada dari dalam atau luar negara.

"Siapa kata anak muda sekarang tidak patriotik? Anak muda di gerai ini membuktikan mereka prihatin terhadap kemerdekaan negara dan sama-samalah kita memeliharanya agar kekal untuk selama-lamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 6:45 PM