MAKANAN tambahan haiwan berkenaan. FOTO Ihsan Maqis
MAKANAN tambahan haiwan berkenaan. FOTO Ihsan Maqis
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas makanan tambahan haiwan dari China tanpa permit import di Pelabuhan Utara, di sini, semalam.

Maqis Selangor dalam satu kenyataan berkata, makanan tambahan haiwan itu dirampas hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh penguat kuasa Maqis, pada 11 pagi.

"Semasa pemeriksaan berkenaan, syarikat tempatan yang membawa masuk makanan tambahan haiwan seberat 1,000 kilogram (kg) itu gagal mengemukakan sebarang dokumen seperti permit import Maqis kepada pegawai pemeriksa.

"Siasatan mendapati makanan tambahan haiwan yang bernilai RM28,521.24 itu tiba di pelabuhan itu, sejak 11 Ogos lalu.

"Makanan tambahan haiwan yang dipercayai untuk pasaran tempatan itu ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maqis Selangor berkata, perbuatan mengimport apa juga jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Maqis adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 9:15 AM