- Foto hiasan
- Foto hiasan
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Bekas timbalan pengerusi wat Siam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan pecah amanah berjumlah hampir RM1.8 juta.

Tertuduh, San Yap A/L Din Ei Yat, 71, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

San Yap dituduh melakukan jenayah pecah amanah terhadap harta milik Wat Boonyaram, Padang Sera, Kodiang yang diamanahkan penguasaan ke atasnya antara 7 Mac 2016 hingga 25 Oktober 2016.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurul Suhaila Baharin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semalam, tertuduh yang juga pesara kerajaan ditahan di rumahnya di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira 12 tengah hari, susulan laporan polis yang dibuat jawatankuasa wat siam berkenaan.

Difahamkan, tertuduh gagal membayar wang jaminan dan terpaksa dibawa ke lokap untuk tahanan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 1:22 PM