MAT Tarzan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menanam pokok ganja di hadapan rumahnya pada 10 Jun lalu. FOTO M Hifzuddin Ikhsan
MAT Tarzan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menanam pokok ganja di hadapan rumahnya pada 10 Jun lalu. FOTO M Hifzuddin Ikhsan
M Hifzuddin Ikhsan


LELAKI dikenali sebagai 'Mat Tarzan' didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan menanam pokok ganja di depan rumahnya.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Faisol Nor@Nordin, 38, didakwa menanam tumbuhan jenis kanabis itu di rumah tidak bernombor di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar pada jam 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

Tertuduh yang tidak bekerja pada mulanya membuat pengakuan bersalah, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Bagaimanapun, dia menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas dimaklumkan akan dikenakan hukuman minimum enam kali sebatan dan penjara seumur hidup.

Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu proses pelantikan peguam dan mendapat laporan kimia.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan dalam serbuan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang mendapat maklumat mengenai kegiatan suspek menanam pokok ganja di halaman rumahnya.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku menanam pokok ganja itu untuk kegunaan sendiri dan pemeriksaan lanjut sekitar rumah menemui empat pokok ganja.

Suspek turut mempunyai satu rekod kes lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif ganja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 1:51 PM