FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi dan adiknya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima wang yang dipercayai hasil aktiviti haram.

Tertuduh, Datuk Mohd Farid Mohamad Ali, 42, dan adiknya, Mohd Fadhil, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya secara subahat terbabit menerima wang berjumlah RM218,524.80 yang diperoleh secara tidak sah.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 yang dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin dan Keshwinder Singh.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kesalahan yang didakwa dilakukan ke atas tertuduh pada 25 Jun lalu.

Mereka kemudian diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan sebutan semula kes ditetapkan pada 1 September ini.

Pada 25 Jun lalu, kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 52 pertuduhan berhubung tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit lebih RM1.57 juta, dua tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh turut tidak mengaku bersalah atas tuduhan yang dinyatakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:57 PM