ANTARA pengunjung yang ditahan malam tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA pengunjung yang ditahan malam tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew, di sini, mengupah 'jaga air' dengan gaji RM1,500 sebulan untuk menjaga laluan keluar masuk premis bagi menyalurkan maklumat operasi pihak berkuasa.

Selain memerhatikan kehadiran pihak berkuasa, individu yang menjadi 'jaga air' ini juga dipercayai memerhatikan setiap pergerakan pelanggan serta yang mencurigakan di luar premis.

Jika terdapat kehadiran pihak berkuasa, 'jaga air' akan terus menghubungi penjaga premis sebelum pelanggan melarikan diri menggunakan laluan rahsia.

Bagaimanapun, helah pusat hiburan itu terbongkar dalam serbuan Operasi Noda jam 11 malam tadi dengan penahanan tiga lelaki 'jaga air' di pusat hiburan berkenaan yang dikesan beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lapan wanita warga asing berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan bersama seorang lelaki warga tempatan iaitu pengurus premis.

"Mereka (pelanggan wanita) yang ditahan terdiri daripada enam warga China, Rusia (1) dan Ukraine (1).

"Selain itu, seramai 104 warga tempatan termasuk 98 pengunjung pusat hiburan itu turut dikompaun RM1,000 kerana melanggar arahan PKPB," katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, ujian saringan awal air kencing dilakukan juga mendapati sembilan warga tempatan termasuk dua wanita positif dadah.

"Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No.7) 2020," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 10:18 AM