Zuliaty Zulkiffli


Langkawi: Berselindung di sebalik kafe makan rupanya menjalankan aktiviti hiburan yang tidak dibenarkan selain beroperasi tanpa lesen dan pelanggan tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada dalam premis terbabit.

Berikutan itu, dua pusat hiburan di Jalan

Pantai Chenang, di sini diserbu polis dalam operasi dua hari yang berakhir malam tadi.

Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi melakukan serbuan berdasarkan maklumat yang diterima.

Hasil pemeriksaan mendapati dua premis terbabit turut melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam serbuan pertama di sebuah pub, 10.45 malam kelmarin, polis menahan 27 lelaki dan tujuh wanita berusia 20-an hingga 30-an yang terdiri daripada pelanggan, pekerja serta penjaga premis.

Bagaimanapun, hanya 10 pelanggan terbabit dikompaun kerana tiada penjarakan fizikal mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempat Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Selain itu, penjaga premis turut dikompaun mengikut Peraturan 16 PPPPB 2021 kerana menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan serta beroperasi tanpa lesen hiburan mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1997.

Dalam serbuan kedua di Jalan Pantai Chenang 10.30 malam tadi, polis menahan 16 individu termasuk tiga wanita warga asing, penjaga dan pekerja di premis itu kerana menjalankan aktiviti sama.

Hasil pemeriksaan mendapati empat daripada individu mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah.

Penjaga premis turut dikompaun mengikut Peraturan 16 PPPPB 2021 kerana menjalan aktiviti yang tidak dibenarkan serta beroperasi tanpa lesen hiburan mengikut Seksyen 6(2) EHTTH 1997.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua pemilik premis hiburan supaya bersabar kerana operasi hiburan masih belum dibenarkan walaupun Langkawi sudah beralih ke Fasa Empat.

"Perlu patuhi SOP yang ditetapkan kerajaan kerana jika pemilik premis ini menukar skop perniagaan dari kafe makan yang dibenarkan ke pusat hiburan, sudah tentu ramai yang akan datang ke situ.

"Saya nasihatkan mereka supaya berhenti dari menjalankan kegiatan ini kerana kita tidak mahu mereka jadi penyebab kes Covid-19 merebak kerana kes di Langkawi pun dah kawal dan turun. Berilah kerjasama sepenuhnya sehingga kes turun seperti sebelum ini," katanya ketika ditemui sejurus operasi dilakukan, hari ini.

PREMIS hiburan yang diserbu polis. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PREMIS hiburan yang diserbu polis. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 12:48 PM