ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Way, Petaling Jaya, awal pagi tadi.
ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Way, Petaling Jaya, awal pagi tadi.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Seramai 45 individu yang juga pelanggan dan pekerja pusat hiburan di Sungai Way, di sini, dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi berkenaan jam 4 pagi tadi.

"Ketika serbuan, kami dapati terdapat enam lelaki tempatan sedang bekerja sebagai pelayan. Malah, terdapat lima wanita warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) sedang berhibur bersama pelanggan terdiri daripada 16 lelaki dan 18 wanita tempatan di dalam empat bilik karaoke berasingan.

"Semua individu membabitkan pelanggan serta pekerja pusat hiburan berkenaan berusia antara 19 hingga 70 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ku Mashariman berkata, hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing positif dadah jenis amphetamin, tetrahydrocannabinol dan ketamin.

"Semua pekerja dan pelanggan tempatan dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang atas kesalahan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Selain itu, seorang lelaki tempatan yang juga pengurus premis itu ditahan untuk tindakan lanjut kerana menggaji pekerja warga asing tanpa permit.

"Kami juga menahan lima wanita warga asing terbabit kerana disyaki bekerja tanpa permit sah," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995.

"Selain itu, siasatan juga dilakukan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 terhadap lima wanita warga asing yang kini direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PPN yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 7:12 PM