Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Kreatif dan sabar. Itulah ungkapan sesuai bagi usaha lelaki ini apabila berjaya menyiapkan sebuah potret bersaiz besar menggunakan 391 bongkah kiub rubik.

Zabli Ab Hadi, 34, dari Rompin, Pahang, berkata dia mendapat ilham menggunakan kiub rubik bagi memperingati pemergian penyanyi terkenal tanah air, Allahyarham Siti Sarah Raisudin yang meninggal akibat Covid-19, baru-baru ini.

"Jika diikutkan, potret ini boleh disiapkan dalam masa empat jam sahaja, tetapi kerana kekangan masa, saya mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan potret arwah Siti Sarah dan Shuib," katanya.

Zabli yang bertugas sebagai pengurus pusat internet berkata, dia akan datang ke tempat kerja satu jam awal pada waktu pagi semata-mata bagi menyiapkan potret berkenaan.

Menurutnya, salah satu cabaran bagi menyiapkan potret berkenaan adalah bagi mendapatkan tona warna yang sesuai.

Katanya, dia juga menggunakan aplikasi Photoshop dalam membantu mengubah warna potret berkenaan bagi menyesuaikan dengan warna yang ada pada kiub rubik.

"Antara bahagian yang sukar bagi saya adalah kening dan gigi kerana pilihan warna yang tak banyak.

"Malah, ada juga sekiranya pemilihan warna tidak sesuai, saya harus turunkan rubik dan susun balik satu demi satu," katanya.

Sementara itu, Zabli berkata, dia tidak menyangka perkongsian video dalam menghasilkan potret Allahyarham Siti Sarah dan suami tular di aplikasi TikTok.

Sejurus selepas itu, katanya, dia menerima pelbagai permintaan orang ramai bagi menghasilkan potret menggunakan kiub rubik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 6:01 PM
Zabli Ab Hadi bersama hasil potret yang menggunakan 391 buah kiub rubik. FOTO Ihsan Zabli
Zabli Ab Hadi bersama hasil potret yang menggunakan 391 buah kiub rubik. FOTO Ihsan Zabli