BRUNDAGE ketika menghasilkan potret Kobe Bryant. - Ihsan Twitter Steven Brundage
BRUNDAGE ketika menghasilkan potret Kobe Bryant. - Ihsan Twitter Steven Brundage
Agensi

London: Ahli silap mata dan artis terkenal, Steven Brundage mengambil masa 20 jam untuk menghasilkan potret lagenda bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Kobe Bryant menggunakan kiub rubik.

Brundage turut berkongsi video berdurasi 26 saat di media sosial ketika dia menghasilkan potret Bryant.

Menurut laporan Dailymail, Brundage mengakui dia adalah peminat fanatik Bryant yang juga Juara NBA lima kali itu.

Katanya, berita mengenai kematian Bryant amat mengejutkannya.

Kebiasaannya, katanya, dia akan membuat reka bentuk sebelum menghasilkan sesuatu potret, tetapi kesedihan kerana kehilangan Bryant menyebabkan Brundage menghasilkannya tanpa melalui proses itu.

“Mungkin inilah cara saya meluahkan perasaan dialami. Pada saya Bryant adalah segala-galanya.

“Saya mula bermain bola keranjang ketika berusia enam tahun, kehidupan saya juga berkisar mengenai bola keranjang dan Bryant adalah Michael Jordan saya,” katanya

Bryant dan anak perempuannya Gianna, 13, antara sembilan yang maut dalam nahas helikopter di Calabasas, California, 27 Januari lalu.

Brundage yang juga peserta America’s Got Talent pada 2016 berkata, dia sangat mengagumi Bryant, dan kehilangannya mengubah sukan bola keranjang selamanya.

Katanya, dia merancang menghantar potret itu kepada badan amal yang boleh digunakan untuk meraih sumbangan bagi meneruskan legasi Bryant.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 9:56 AM