NUR Zakirah bersama Muhammad Hariz  bergambar bersama potret Idris menggunakan 800 kiub rubik.
NUR Zakirah bersama Muhammad Hariz bergambar bersama potret Idris menggunakan 800 kiub rubik.
Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Permainan kiub rubik yang mampu menguji ketangkasan dan kepantasan pernah mencetuskan fenomena pada sekitar 2000 dan menjadi ‘trend’ bagi anak muda ketika itu.

Malah, mana-mana individu yang berjaya menyusun kiub rubik dengan tepat dalam masa yang singkat dianggap genius kerana mereka memerlukan daya tumpuan dan ketangkasan tinggi.

Permainan kiub rubik itu juga menjadi minat dan hobi Nur Zakirah Zahran, 24, sejak di bangku sekolah lagi, malah dia tidak pernah berenggang dengan kiub rubiknya.

Namun, siapa sangka hobinya itu kini menjadi satu sumber pendapatan walaupun tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Bermain kiub rubik menjadi hobi saya tetapi tidak pernah terfikir untuk mewujudkan satu perniagaan berasaskan kuib rubik ini.

“Idea untuk menceburi bidang perniagaan ini bermula apabila saya menonton rancangan di televisyen yang memperkenalkan antara pemain rubik terpantas di Malaysia, Muhammad Hariz Azizan.

“Dari situ saya mula terfikir untuk bekerjasama dengan Muhammad Hariz bagi menghasilkan potret menggunakan kiub rubik, sekali gus menjadi sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Dia yang juga graduan Universiti Multimedia (MMU) berkata, selepas menonton rancangan itu, dia terus menghubungi Muhammad Hariz melalui media sosial Facebook bagi menyatakan hasratnya itu.

“Seni potret menggunakan kiub rubik belum pernah dilakukan mana-mana individu di dalam negara ini, namun perniagaan seni potret menggunakan kiub rubik menjadi kebiasaan di luar negara.

“Apabila saya memaklumkan cadangan perniagaan kiub rubik kepada Muhammad Hariz, dia bersetuju dan merasakan idea berkenaan sangat menarik dan unik,” katanya.

Menurutnya, dia dan Muhammad Hariz kini sudah berjaya menghasilkan beberapa potret pelbagai saiz yang ditempah pelanggan melalui media sosial.

Sementara itu, Muhammad Hariz berkata, dia tidak sangka idea untuk menghasilkan potret menggunakan kiub rubik itu mendapat sambutan daripada pelbagai pihak.

“Alhamdulillah, permainan ini bukan sia-sia dan ia mampu memberi pendapatan sampingan kepada saya walaupun ketika ini kami hanya mempromosikan perniagaan secara online terutama di Instagram.

“Kami akan membahagikan tugas masing-masing sebelum menghasilkan potret. Saya akan melakukan tugas pemasangan manakala Nur Zakirah akan melakar reka bentuk potret yang diminta pelanggan.

“Baru-baru ini kami menghasilkan potret Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dengan menggunakan 800 kiub rubik yang bernilai kira-kira RM10,000.

“Mana-mana individu yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi saya di talian 017-2368672 dan 019-9325708 (Nur Zakirah),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 9:22 AM