MOHD Zolkafly (kanan) menziarahi mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MOHD Zolkafly (kanan) menziarahi mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Kerajaan negeri memohon peruntukan khas daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berjumlah RM800,000 bagi kerja-kerja membaik pulih dua ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kerian di Sunga Beriah, di sini, yang pecah, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, dua ban yang pecah itu terletak di Kampung Selekoh, Matang Pasir dan Parit Haji Kassim.

Menurutnya, pihak JPS sudah memasang cerucuk di lokasi ban terbabit bagi menyekat aliran air masuk ke kawasan penempatan penduduk sebagai langkah awal.

"Hasil tinjauan pada hari ini, terdapat dua lokasi yang pecah iaitu di Kampung Selekoh dengan keluasan ban sepanjang 30 meter manakala di Parit Haji Kassim, ianya pecah sepanjang 10 meter.

"Kejadian itu menyebabkan 400 rumah di mukim ini dilanda banjir.

"Buat masa ini, kerja-kerja awal menanam cerucuk telah dimulakan hari ini dan dijangka mengambil masa selama dua hari bagi menyekat aliran air di bahagian hulu dan di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS)di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Menurutnya, permohonan peruntukan khas itu bagi kerja-kerja menambak ban yang pecah dan membaik pulih struktur ban yang rosak sepanjang dua kilometer.

Katanya, kejadian seumpama itu pernah berlaku pada 2003 dan kini kejadian sama berulang kembali.

"Kita yakin agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak lagi berlaku bukan sahaja di sini, malah seluruh Perak.

"Pada masa sama, kita juga tidak mahu berlaku kemalangan jiwa seperti di (Yan) Kedah dalam kejadian banjir (akibat fenomena kepala air) baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 7:22 PM