NOOR Azman meninjau keadaan bayi di PPS SK Changkat Lobak. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
NOOR Azman meninjau keadaan bayi di PPS SK Changkat Lobak. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Runtuhan ban sepanjang lebih enam meter di Kampung Matang Tengah, Changkat Lobak, Alor Pongsu, di sini, menjadi punca kejadian banjir semalam.

Susulan kejadian itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka jam 5 petang semalam di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak.

Sehingga malam tadi seramai 27 mangsa termasuk bayi lelaki berusia tujuh bulan ditempatkan di PPS.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali berkata, projek pembinaan itu dikelolakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan dijangka siap sepenuhnya sebelum November.

"Bagaimanapun, ban yang sedang dibina itu terputus menyebabkan air dari sungai melimpah masuk ke Kampung Matang Tengah.

"Kampung ini sebenarnya agak landai dan berada di bawah laras sungai. Jadi air memasuki rumah penduduk," katanya ditemui semalam.

Noor Azman berkata, susulan kejadian itu Bahagian Teknikal JPS dijangka membaiki kerosakan dengan segera kerana banjir besar boleh berlaku seperti 2002 jika tindakan pantas tidak diambil.

Menurutnya, faktor hujan lebat dan tidak menentu turut menyebabkan banjir semakin buruk.

Sementara itu, penduduk, Nurul Syuhada Shahidan, 21, berkata, dia bersama suami, Najmirul Aiman Norazam, 21, dan bayi, Ayyash Afi Abdul Hafiz, tujuh bulan, dipindahkan selepas rumah dimasuki banjir pada jam 3 petang.

Menurutnya, banjir itu yang pertama berlaku pada tahun ini dan dia sering menjadi penghuni PPS sejak kecil lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 11:06 AM