Pusat bandar Parit Buntar dilanda banjir kilat, hari ini. - Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Pusat bandar Parit Buntar dilanda banjir kilat, hari ini. - Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


HUJAN berterusan sejak awal pagi hari ini menyebabkan beberapa kawasan di Parit Buntar dan Bagan Serai dilanda banjir kilat pada sebelah petang.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Rahmat Paimin berkata, keadaan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 50 rumah di Taman Kerian, Pekan Baru, Jalan Ismail Arof, Taman Aman Sejahtera dan Taman Damai di Parit Buntar, dinaiki air.

Menurutnya, kawasan pusat bandar termasuk perhentian bas Hentian Raya dan 20 premis perniagaan turut dinaiki air setinggi 0.3 meter namun keadaan terkawal.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Kerian (MDK), Mohd Razif Ramli memberitahu jalan sekitar bandar Parit Buntar dan Bagan Serai masih boleh dilalui kenderaan.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian sudah mengaktifkan pam bagi membuang air parit ke sungai lebih awal untuk mengurangkan risiko banjir kilat lebih buruk.

Sementara itu, tiga bot nelayan di pesisir pantai Sungai Burung, Ban Pecah, Tanjung Piandang, terbalik akibat ombak kuat.

Wakil nelayan, Mat Salim Omar, 56, berkata kejadian 4 petang itu menyebabkan nelayan terbabit kerugian kira-kira RM10,000 setiap seorang berikutan kerosakan enjin, bot dan peralatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 10:35 PM