NOOR Azman (dua kanan) membantu penduduk di Kampung Selekoh berpindah ke PPS Alor Pongsu. FOTO Shahrin Ahmad Fauzi
NOOR Azman (dua kanan) membantu penduduk di Kampung Selekoh berpindah ke PPS Alor Pongsu. FOTO Shahrin Ahmad Fauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, di sini, hari ini.

PPS berkenaan dibuka pada 3 petang, dan sudah menempatkan 56 mangsa dari empat kampung sehingga 8 malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian Mohd Sabli Bakri, berkata antara kampung terbabit adalah Kampung Selekoh, Beriai,Parit Air Hitam 2 dan Parit Ali Kalang.

"Sehingga kini dua PPS sudah dibuka termasuk SK Cangkat Lobak yang menempatkan 142 mangsa dari 39 keluarga.

"Sementara itu, jalan FT 147 yang menghubungkan Alor Pongsu dan Selama yang sebelum ini hanya dibuka untuk kenderaan berat turut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan apabila air di kawasan berkenaan meningkat," katanya dihubungi hari ini.

Sementara itu tinjauan media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali di beberapa buah kampung mendapati anggota Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang sibuk memindahkan mangsa-mangsa ke PPS.

Keadaan cuaca juga buruk dan air semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 11:01 PM