Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang, Kuala Lumpur mengambil inisiatif dengan mewujudkan bank makanan atau 'Food Bank' berhadapan rumahnya di Kampung Kemumin sejak setahun lalu.

Datin Seri Nor Azizah Sulaiman, 63, berkata, idea untuk mewujudkan bank makanan itu tercetus apabila melihat ramai terkesan dalam tempoh pandemik Covid-19 dan mahu membantu meringankan beban golongan memerlukan yang terputus bekalan makanan.

Katanya, bermodalkan sebanyak RM20,000 hasil sumbangan keluarga dan rakan-rakan, beliau membina bank makanan bagi menempatkan barangan asas keperluan harian serta memudahkan penerima untuk datang mengambil barang yang diperlukan.

"Bagi mengelakkan kesesakan ketika pandemik Covid-19, bank makanan ini hanya dibuka pada Jumaat bermula jam 4 hingga 6 petang.

"Golongan asnaf boleh datang mengambil keperluan makanan asas seperti beras, gula, minyak dan susu selain itu kami akan membukanya jika ada antara mereka membuat panggilan telefon memohon bantuan.

"Dalam situasi sekarang, ramai yang terkesan dengan pandemik, maka ia menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu meringankan beban dan menjaga satu sama lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kemumin, di sini, hari ini.

Terdahulu Nor Azizah menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 20 penerima daripada komuniti Kemumin.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa berkata, sepanjang tahun lalu, dana sumbangan sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi tujuan itu.

Nor Azizah Sulaiman (tengah) menyampaikan barangan keperluan makanan kepada seorang penerima ketika ditemui di Food Bank Kampung Kemumin. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Nor Azizah Sulaiman (tengah) menyampaikan barangan keperluan makanan kepada seorang penerima ketika ditemui di Food Bank Kampung Kemumin. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

"Dianggarkan pada setiap bulan antara 60 hingga 100 penerima datang mengambil keperluan makanan asas di bank makanan berkenaan.

"Dalam masa sama, saya juga memperuntukan 10 peratus daripada wang pencen untuk disalurkan kepada bank makanan ini selain ada juga dana tambahan daripada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO).

Bercerita lanjut, ibu kepada lima anak berusia antara 26 hingga 39 tahun itu berkata, selepas bersara wajib pada 2016, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman bersama suaminya, Datuk Seri Alias Ahmad pada 2018 untuk menjaga ayahnya yang sakit tua.

"Sekembalinya ke kampung halaman, pada awalnya saya menubuhkan sebuah NGO iaitu Pengerusi Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa untuk berbakti kepada masyarakat setempat yang memerlukan.

"Sebelum ini, saya pernah terbabit dengan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) selama 10 tahun ketika berkhidmat sebagai guru di Kuala Lumpur dan banyak membantu golongan memerlukan.

"Naluri saya yang suka membantu golongan memerlukan tidak akan pernah pudar malah akan diteruskan sehingga ke akhir hayat," katanya.

Sementara itu, Tengku Amri Raja Deris, 41, yang mendapat manfaat daripada Food Bank itu berkata, pendapatannya sebagai buruh terjejas sejak pandemik berlaku dan dalam masa sama perlu menyara tiga anak berusia tiga hingga lima tahun termasuk pasangan kembar.

"Saya sangat bersyukur inisiatif bank makanan ini sedikit sebanyak membantu kami sekeluarga ketika keadaan mendesak untuk kelangsungan hidup," katanya yang juga penerima bantuan daripada kerajaan.

Bagi mereka yang turut sama membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa menerusi Bank Maybank bernombor 553010645078.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 4:04 PM