Azman Md Yusof, 46, (tengah) diiringi anggota polis untuk didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Butterworth. FOTO DANIAL SAAD
Azman Md Yusof, 46, (tengah) diiringi anggota polis untuk didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Butterworth. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang pesawah dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut apabila mengaitkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan aktiviti perjudian dalam satu kumpulan WhatsApp, lima hari lalu.

Azman Md Yusof, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa menerbitkan penerbitan menghasut terhadap Agong menerusi kumpulan WhatsApp Kariah Permatang Sungai Dua.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tok Rai, Kepala Batas, dekat sini, jam 8.45 malam pada 25 April lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut perenggan Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Pulau Pinang Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri.

Pendakwaan meminta jaminan RM10,000 dikenakan ke atas tertuduh dengan mengambil kira kesalahan membabitkan hantaran berbaur hasutan semakin berleluasa di media sosial sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya seorang pesawah tidak mempunyai pendapatan tetap, selain perlu menyara isteri serta empat anak masih bersekolah berusia lingkungan empat hingga 16 tahun.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh mengikuti syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan memuat naik sebarang hantaran dalam apa jua keadaan sekali pun di media sosial sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 20 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 11:33 AM