Yunus Abdullah 53 mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini. FOTO L.MANIMARAN
Yunus Abdullah 53 mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini. FOTO L.MANIMARAN
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lima pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan permohonan tender perkhidmatan pembersihan bangunan dan kawasan sekolah serta institusi pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan negeri yang dilakukannya pada 2016 hingga 2017.

Yunus Abdullah, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Yunus didakwa secara fraud menggunakan dokumen diketahui palsu sebagai tulen iaitu tiga penyata akaun CIMB Islamic Bank bertarikh 31 Mei 2017, 31 Jun 2017 dan 31 Julai 2017 milik Lembah Larut Enterprise dan mengarahkan Muhammad Sofi Salleh, 33, meminda penyata akaun CIMB Bank itu bagi permohonan Tender Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) ke sekolah/ institusi pendidikan bagi zon 13 daerah Kerian di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian di Parit Buntar, Perak, pada September 2017.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, Yunus juga didakwa secara fraud menggunakan dokumen diketahui palsu sebagai tulen iaitu dua penyata akaun Maybank milik Mega MH Resources masing-masing bertarikh 31 Mei 2016 dan 30 Jun 2016 serta mengarahkan Muhammad Sofi meminda penyata akaun Maybank itu bagi permohonan Tender Perkhidmatan KBK ke sekolah/institusi pendidikan bagi zon 26 Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) juga di bawah JPN Perak.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan tertuduh di PPD Larut Matang dan Selama, Jalan Taming Sari, Taiping, dalam Daerah Larut Matang dan Selama pada Ogos 2016.

Kelima-lima kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor bersama Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam, Nor Fatihah Ibrahim.

Sharul Azuan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain meminta syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM pada 1 hari bulan setiap bulan.

Bagaimanapun, Nor Fatihah memohon jumlah jaminan dikurangkan separuh iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan, mengambil kira tertuduh yang juga bapa empat anak menyara isteri tidak bekerja serta tiga anak masih belajar.

Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan diminta Nor Fatihah iaitu RM25,000 bagi lima pertuduhan dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dimohon pendakwaan iaitu tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan tanpa gagal.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan tertuduh dilarang mengganggu saksi dalam kes itu sehingga kes selesai dan menetapkan tarikh 30 Mei depan untuk sebutan semula serta pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 12:38 PM