GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Dua pegawai atasan syarikat pembekalan air negeri ini yang dipercayai menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada dua pemilik syarikat kontraktor, direman sehari.

Perintah reman itu dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar Nurzihan Abdul Rehman selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Dua suspek berkenaan masing-masing diwakili peguam, Adzly Ab Manas dan Amarpreet Singh Rajwinder Singh.

Reman berkenaan bagi membolehkan kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira 2 petang semalam.

"Siasatan bertindak atas beberapa aduan sekitar 2023, di mana kedua-dua suspek telah menerima wang rasuah daripada pemilik dua buah syarikat kontraktor.

"Ia sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan daripada syarikat pembekalan air berkenaan.

"Suspek terbabit dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung dengan permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan sepenuhnya," kata sumber berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 12:27 PM