SALURAN paip air mentah yang pecah di Kawasan Muka Sauk Air Mentah Titi Kerawang, Balik Pulau, di sini. FOTO ihsan PBAPP
SALURAN paip air mentah yang pecah di Kawasan Muka Sauk Air Mentah Titi Kerawang, Balik Pulau, di sini. FOTO ihsan PBAPP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) menggerakkan pasukan pembaikan saluran paip kecemasannya bagi membaiki dua saluran paip air mentah yang pecah di muka sauk air Titi Kerawang, Balik Pulau bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, kerosakan saluran paip mentah berukuran 150 milimeter (mm) dan 225 mm itu disebabkan batu yang jatuh.

Katanya, saluran itu menyalurkan air dari muka sauk air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Pinang yang terletak kira-kira 500 meter ke hilir.

"Berikutan kejadian itu, kapasiti pengeluaran LRA Sungai Pinang terjejas.

"LRA Sungai Pinang mengeluarkan purata 12.9 juta liter sehari (JLH) air terawat, yang sebahagian besarnya dibekalkan kepada pengguna air di kawasan Balik Pulau," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu Jaseni berkata, PBAPP mengaktifkan pelan kontingensi bagi mengepam air terawat tambahan dari rumah pam Teluk Kumbar dan Teluk Bahang bagi meminimumkan impak kejadian terhadap perkhidmatan bekalan air di Balik Pulau.

Pada masa sama, katanya, pasukan lori tangki air PBAPP bersiap sedia bagi menghantar air terawat kepada pengguna yang tinggal di kawasan tinggi atau di kawasan hujung saluran paip (EOL).

"Pasukan pembaikan saluran paip kecemasan PBAPP sudah ke lokasi di hutan bagi melaksanakan penyelesaian paling rasional dengan pantas dalam kerja penyambungan semula saluran paip yang pecah.

"PBAPP memberi keutamaan kepada kerja pembaikan saluran paip bagi mengurangkan kesulitan kepada penduduk yang tinggal di Balik Pulau.

"Kejadian ini disebabkan oleh jatuhan batu akibat cuaca buruk dan saluran paip akan dibaiki secepat mungkin manakala perkhidmatan bekalan air di Balik Pulau akan dipulihkan," katanya lagi.

Pengguna yang memerlukan bantuan disaran menghubungi Pusat Panggilan 24 jam di talian 04-255 8255.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 2:06 PM