Zainal Abidin (baju putih) meninjau sebahagian Jalan Teluk Bahang  yang runtuh akibat hujan lebat, kelmarin.
Zainal Abidin (baju putih) meninjau sebahagian Jalan Teluk Bahang yang runtuh akibat hujan lebat, kelmarin.
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) menafikan kejadian tanah runtuh di jalan utama Teluk Bahang, dekat sini, kelmarin disebabkan saluran paip yang dipasang syarikat terbabit.

Ia berikutan saluran paip berukuran 600 milimeter (mm) itu bukan baharu diletakkan, tetapi dipasang sejak 1987.

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB) dan PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, dalam tempoh berkenaan, saluran terbabit digunakan bagi menyalurkan air mentah dari stesen pam Teluk Bahang ke Batu Feringghi.

Beliau berkata, PBAPP tidak meletakkan paip baharu di struktur jalan berkenaan sebelum ini dan tidak mungkin saluran paip lama terbabit tiba-tiba boleh mengakibatkan jalan runtuh.

“Kejadian ini dipercayai akibat hujan lebat tiga hari dengan catatan 304mm di Teluk Bahang menyebabkan air mengalir ke bawah lereng bukit menjejaskan kestabilan cerun yang menyokong jalan di pinggir laut.

“PBAPP sudah meletakkan deretan paip besi Tergalvani di bahagian jalan yang terjejas sebagai langkah sementara bagi melindungi saluran paip berkenaan kerana ia membekalkan air terawat ke Teluk Bahang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

PBAPP sudah memberi taklimat mengenai kemungkinan punca kejadian itu kepada Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Lim Hock Seng ketika meninjau di kawasan terjejas itu. Lim bersetuju dengan PBAPP bahawa hujan luar biasa mungkin menjadi punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 9:54 AM