KEADAAN restoran mamak yang masih belum membenarkan 'dine- in'. FOTO Nuraliawati Sabri
KEADAAN restoran mamak yang masih belum membenarkan 'dine- in'. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri dan Ahmad Hasbi


Melaka: Meskipun kerajaan membenarkan orang ramai makan di restoran (dine- in) namun rata-rata restoran mamak di bandaraya ini masih beroperasi dengan hanya menjual makanan secara bungkus.

Keputusan itu diambil kerana peniaga masih bingung berikutan tiada 'lampu hijau' daripada kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri.

Tinjauan di sekitar Bandaraya Melaka di sini, mendapati kebanyakan restoran masih menjual makanan secara bungkus dan tidak menyediakan meja dan kerusi untuk pelanggan.

Pekerja sebuah restoran mamak, Ruhil Husin, 26, berkata, walaupun majikannya mengetahui pengumuman dibuat Perdana Menteri sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, namun majikannya mengambil keputusan menangguh kebenaran makan di dalam premis.

"Majikan tidak memberi sebarang arahan lagi untuk membenarkan makan di restoran. Jadi hari ini (semalam) kami masih beroperasi dengan menjual makanan secara bungkus.

"Saya yakin, walaupun restoran membenarkan 'dine-in' namun pelanggan masih was-was berikutan kes jangkitan covid-19 yang masih tinggi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, tiada kelonggaran sektor ekonomi termasuk kebenaran 'dine in' atau operasi pasar malam dan minggu diputuskan kerajaan negeri.

"Melaka hanya dibenarkan untuk kelonggaran itu sekiranya negeri sudah mencapai 50 peratus jumlah penduduk sudah lengkap menerima dua suntikan vaksin.

"Jika kita mencapai keadaan itu barulah kita layak membuka sektor ekonomi dan sosial seperti yang diumumkan kelmarin," katanya.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan aktiviti 'dine-in' atau makan di restoran dibenarkan kepada individu yang lengkap divaksin di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Jumaat.

Sementara itu di Seremban, kebanyakan restoran nasi kandar di negeri ini masih tidak membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis meskipun kerajaan sudah mengumumkan kebenaran bagi negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengurus Restoran Nasi Kandar Al-Fazlin, Mohd Rosli Abul Kalam Azad, 30, berkata, dia tidak mahu mengambil risiko semata-mata hanya mahu menarik pelanggan ke premis diuruskannya itu.

"Pertama saya bimbang jika ada pelanggan yang tidak lengkap vaksinasi makan di dalam restoran sekaligus berisiko membawa jangkitan. Kedua saya tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang jika berlaku kecuaian.

"Sebagai langkah berjaga-jaga saya menangguhkan dahulu 'dine-in' buat sementara waktu," katanya tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 12:20 PM