Keadaan Anjung Selera Hutan Bandar yang kembali meriah dikunjungi orang ramai selepas hampir tujuh bulan hambar dengan kebanyakan lot niaga tiada pengunjung. FOTO FARID NOH
Keadaan Anjung Selera Hutan Bandar yang kembali meriah dikunjungi orang ramai selepas hampir tujuh bulan hambar dengan kebanyakan lot niaga tiada pengunjung. FOTO FARID NOH
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bandar raya ini kembali ceria dan meriah selepas rentas negeri dibenarkan sejak Isnin lalu.

Tinjauan di lokasi tumpuan ramai di Anjung Selera Hutan Bandar di sini, mendapati, kesempatan itu dimanfaatkan warga bandar raya, bersantai bersama keluarga dan menikmati hidangan sarapan.

Suasana yang sebelum ini hambar kembali meriah dan dikunjungi orang ramai bermula 8.30 pagi.

Sebahagian peniaga di bandar raya ini yang sebelum terpaksa menutup lot gerai masing-masing berikutan sambutan hambar apabila makan di restoran atau dine-in tidak dibenarkan, kini kembali menarik nafas lega.

Peniaga minuman, Nisa Samian, 55, bersyukur apabila sambutan pengunjung semakin pulih sekali gus perniagaannya kembali bernyawa.

"Sejak awal tahun lalu, pendapatan perniagaan air saya terjejas teruk dengan pendapatan sehari hanya RM15 hingga RM20 sahaja.

"Namun sejak Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) 24 September lalu dengan kebenaran dine-in diberi, pengunjung mulai bertambah.

"Sebelum ini apabila dine-in tidak dibenarkan, pengunjung memang hanya membungkus makanan dan sangat kurang membungkus air, namun Alhamdulillah, pendapatan harian peniaga di sini terutama yang menjual air kembali pulih dengan kebenaran rentas daerah dan negeri," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang pengunjung medan selera berkenaan, Abdul Samad Yaacob, 54 berkata dia dan isteri Norhana Kandar, 51 memilih untuk ke Hutan Bandar Johor Bahru kerana lokasinya yang dekat dengan pelbagai kemudahan gerai makan, tandas, taman permainan dan trek pejalan kaki.

"Hutan Bandar Johor Bahru memang tempat terkenal di bandar raya ini dan menjadi pilihan saya dan isteri serta keluarga datang beriadah di sini pada hujung minggu.

"Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kami sudah lama tidak mengunjungi kawasan di Hutan Bandar Johor Bahru, namun selepas saya dan isteri lengkap menerima vaksin dan kebenaran rentas negeri dibolehkan, saya dan isteri yakin untuk datang ke sini," katanya.

Bagi Norhana pula, keyakinan timbul apabila melihat pengunjung lain berdisiplin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengimbas kod MySejahtera dan mengambil suhu, pengunjung juga perlu mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjagaan jarak.

"Alhamdulillah, rasa lega sedikit selepas kerajaan mula beri kelonggaran seperti kebenaran 'dine-in' dan rentas negeri. Namun orang ramai diharap terus berdisiplin dan menjaga SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 3:11 PM