FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Asrol Awang


JABATAN Agama Islam Pahang (JAIP) membenarkan majlis akad nikah di negeri ini dengan pemohon perlu membuat permohonan dalam talian bagi menentukan giliran pelaksanaan majlis itu di daerah masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, majlis akad nikah hanya dibenarkan kepada bakal pasangan pengantin yang sudah mendapat kebenaran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Beliau berkata, majlis akad nikah itu hanya dilaksanakan di PAID atau tempat yang difikirkan sesuai oleh Kadi Daerah bagi memastikan keselamatan, pematuhan syarat dan tatacara serta pemantauan.

Sehubungan itu, katanya, pemohon perlu membuat permohonan menerusi https://emunakahat.pahang.gov.my/ dengan melengkapkan Borang Permohonan Khas Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya diemelkan ke PAID.

"PAID akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah mengenai maklumat yang dinyatakan dalam borang permohonan bagi mengesahkan pihak yang hadir bukan senarai pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit dalam pemantauan (PUS) koronavirus baharu (Covid-19).

"Mana-mana pihak tersenarai sebagai PUI atau PUS tidak dibenarkan hadir ke majlis akad itu. Borang permohonan yang lengkap akan diproses oleh PAID dalam tempoh tujuh hari," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy berkata, majlis itu hanya boleh dihadiri tidak melebihi lapan orang membabitkan jurunikah, saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali.

Katanya, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan iaitu tidak melebihi 20 minit.

"Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon.

"Beberapa keping gambar majlis akad nikah itu akan diambil oleh PAID bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara-perkara berbangkit," katanya.

Katanya, jika ada pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, Kadi Daerah atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Pahang boleh menangguhkan majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 1:22 PM