GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Majlis akad nikah bakal pengantin dari luar Pahang sama ada dari negeri melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditangguhkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifli Ali berkata, penangguhan itu berikutan larangan rentas negeri diputuskan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, jika terdapat keperluan mengadakan majlis kad nikah disebabkan diberikan kebenaran lebih awal sebelum 13 Januari lalu, majlis itu hendaklah diadakan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja.

"Oleh itu, borang permohonan khas majlis akad nikah dalam tempoh PKPK Covid-19 perlu diisi dan kehadiran hanya tiga orang sahaja iaitu pengantin lelaki dan perempuan serta wali manakala dua saksi dan jurunikah akan ditentukan Kadi daerah.

"Syarat tambahan ialah mengemukakan kebenaran rentas negeri, keputusan kit ujian pantas (RTK) antigen (RTK-Ag) Covid-19 yang dibuat dalam tempoh 72 jam dari tarikh majlis akad nikah bagi setiap individu yang hadir dari luar Pahang ketika memasuki PAID.

"Ujian RTK-Ag boleh dilakukan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau swasta yang diiktiraf di negeri atau tempat tinggal pemohon," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bagi bakal pasangan pengantin dari Pahang, JAIP hanya membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan di PAID.

Menurutnya, Kadi Daerah akan menentukan tempoh giliran pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual disusun oleh PAID dengan mengambil kira perbincangan bersama pemohon.

Katanya, pemohon dan pihak terbabit dalam majlis akad hendaklah melepasi dan mematuhi langkah keselamatan yang akan dilaksanakan di peringkat PAID.

"Antara syarat itu ialah pemakaian pelitup muka, melepasi ujian suhu, penggunaan cecair pensanitasi tangan, penjarakan fizikal satu meter, kepatuhan susun atur kedudukan dan membuat sanitasi tempat majlis akad nikah.

"Pada majlis akad nikah itu tidak boleh melebihi lapan orang iaitu jurunikah, dua saksi, pengantin lelaki dan perempuan dan wali.

"Tempoh masa majlis akad nikah tidak boleh melebihi 20 minit dan upacara adat istiadat dalam majlis itu tidak dibenarkan sama sekali," katanya.

Beliau berkata, bagi wali berada di luar Pahang ketika tempoh PKP dan PKPB, majlis itu digalakkan ditangguhkan atau boleh dilaksanakan secara wakalah wali.

Katanya, majlis resepsi, majlis kenduri kahwin untuk masjid akad nikah hendaklah ditangguhkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 3:56 PM