GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad


Johor Bahru : Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaksanakan sistem digitalisasi bagi mengurangkan keberadaan dan kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, langkah itu diambil berikutan isu kesesakan di CAC terbabit disebabkan akumulasi kontak rapat yang hadir tanpa temujanji.

Katanya secara purata, kira-kira 800 sehingga 1,000 kes positif hadir ke CAC itu sehari.

"Manakala purata kontak rapat yang hadir adalah 1,000 hingga 1,200 sehari, dengan jumlah harian mencecah 3,000 sehari," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kira-kira 15,000 individu menggunakan penilaian Pusat Covid-19 Secara Maya (VCAC) bagi memudahkan pengurusan pesakit positif Covid-19 serta pencarian kontak di negeri Johor sejak 15 Mei lalu.

Menurut Vidyanathan, mereka yang positif Covid-19 sama ada menerusi saringan kendiri atau di klinik dan belum dirawat, perlu akses pautan https://tinyurl.com/vcacjohor.

Katanya melalui sistem ini, mereka akan dihubungi oleh petugas kesihatan dalam masa 48 jam.

"Mereka yang berkaitan diminta untuk tidak hadir terus ke CAC tanpa sebarang temujanji. Sekiranya semasa dalam tempoh menunggu, gejala semakin teruk, sila hubungi 999 bagi bantuan segera.

"Semua pesakit yang datang ke CAC sepatutnya perlu melalui temujanji. Namun, pihak CAC menerima pesakit-pesakit yang bersimptomatik dan teruk apabila mereka 'walk-in' ke CAC.

"Orang ramai yang bukan kontak rapat juga dinasihatkan untuk tidak pergi terus ke CAC. Sebaliknya mereka boleh membuat saringan kendiri atau pergi ke klinik-klinik berhampiran sama ada swasta atau kerajaan jika bersimptom," katanya.

Jelas Vidyanathan, terdapat klinik swasta yang menawarkan perkhidmatan sebagai Klinik CAC, di mana pesakit boleh mendapatkan penilaian status kesihatan di samping pemasangan dan pemotongan gelang.

Mereka boleh melihat senarai Klinik CAC swasta tersebut (CAC GP) di http://tinyurl.com/cacswasta.

"Setakat ini, sebanyak 11 CAC yang masih beroperasi di Negeri Johor. Bagi maklumat lanjut berkaitan pengurusan pesakit Covid-19, sila layari e-book berikut sebagai panduan di http://online.anyflip.com/bkdyk/bbdd/mobile/index.html," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 11:35 AM