GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menaik taraf perkhidmatan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), sebagai persediaan ke arah fasa endemik.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, proses naik taraf itu akan membabitkan beberapa fungsi baharu yang akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memperluaskan kebolehcapaian CAC kepada lebih ramai pesakit Covid-19 dan mereka yang disyaki dijangkiti virus itu.

Katanya, antara inisiatif yang dilakukan ialah penambahbaikan penilaian kes Covid-19 di fasiliti kesihatan primer dan perluasan CAC Maya (Virtual CAC) ke seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata, menggalakkan pembabitan pengamal perubatan swasta dalam menyediakan alternatif perkhidmatan CAC GP dan CAC swasta (CACS) kepada pesakit Covid-19 supaya pemantauan terhadap kuarantin di rumah dapat dilakukan dengan lebih efektif dan meluas.

"Bagi penambahbaikan penilaian kes Covid-19 di fasiliti kesihatan primer, Klinik Kesihatan akan melakukan ujian pengesahan bagi orang yang disyaki.

"Individu bergejala boleh ke klinik kesihatan berdekatan bagi menjalani pemeriksaan dan penilaian kesihatan sama ada secara walk-in atau temu janji klinik.

"Bagaimanapun, bagi mengurangkan kesesakan dan masa menunggu yang lama, serta mengurangkan risiko jangkitan silang, masyarakat digalakkan untuk membuat janji temu terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, terdapat 1,149 CAC GP yang diwartakan di seluruh Malaysia, yang mana 81 CAC GP aktif dalam menyediakan perkhidmatan pemantauan kes yang sedang menjalani isolasi di rumah.

Katanya, sehingga 9 Oktober lalu, sejumlah 19,732 kes dipantau oleh CAC GP.

Dalam pada itu, beliau berkata, CACS adalah alternatif bagi pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 (tidak bergejala atau bergejala ringan) yang menjalani pemantauan di rumah.

"CACS menggunakan fasiliti selain dari yang didaftarkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

"Ini memberi peluang kepada CACS untuk memberikan perkhidmatan pemantauan di rumah atau kediaman pesakit Covid-19 secara lebih tertumpu dan tidak menjalankan perkhidmatan pesakit luar lain, dan antara kawasan digunakan adalah dewan, hotel, dan sebagainya," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian turut menyediakan satu garis panduan sebagai rujukan bagi pihak yang ingin menyediakan perkhidmatan CACS.

Beliau berkata, antara yang ditekankan dalam garis panduan itu adalah pemohon hendaklah pemegang perakuan dari sesebuah klinik perubatan swasta berdaftar di bawah Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Selain itu, pemohon hendaklah diwartakan sebagai Pegawai Diberi Kuasa di bawah Seksyen 3, Akta 342, bagi tujuan pemberian perintah pengawasan dan penjagaan di rumah, serta pemakaian peranti pengawasan.

Melalui CAC Maya pula, beliau berkata, individu positif yang tidak bergejala dan bukan dari golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, mempunyai komorbid, atau wanita hamil tidak perlu hadir ke CAC.

Sebaliknya, mereka hanya perlu membuat pemantauan kendiri dan melaporkan status kesihatan menggunakan aplikasi MySejahtera.

Katanya, pemantauan pesakit di kawasan Lembah Klang masih dilakukan oleh anggota di ibu pejabat KKM, manakala bagi negeri lain kini dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masing-masing.

"Bagi Perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall), individu yang melaporkan gejala, khususnya tanda-tanda amaran seperti demam, kesukaran bernafas, letih lesu berpanjangan, dan sakit dada akan menerima SMS dan panggilan yang meminta mereka pergi ke fasiliti kesihatan terdekat untuk pemeriksaan lanjut.

"Selain itu, mana-mana individu yang melaporkan dua atau lebih tanda amaran akan menerima panggilan daripada pasukan perubatan Virtual CAC Outbound Team bagi mengesahkan keadaan pesakit dan sekiranya bantuan ambulans diperlukan untuk ke hospital.

"Proses ini membabitkan kerjasama strategik agensi swasta bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan adalah berkesan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penambahbaikan perkhidmatan CAC ini diharap perkhidmatan pemantauan di rumah atau tempat kediaman pesakit Covid-19 (home monitoring) akan lebih baik dan seterusnya mengurangkan kadar kematian khususnya kes kematian luar hospital (BID).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 8:09 PM