GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jumlah pesakit Covid-19 dan kemasukan pesakit baharu ke hospital kerajaan di negeri ini terus menurun.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, penurunan itu berlaku sejak dua minggu lalu dan ia menunjukkan perubahan daripada segi penggunaan katil Covid-19 di hospital.

"Jumlah pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) menurun 31 peratus iaitu daripada 97 kepada 66 orang.

"Manakala bagi kemasukan harian pesakit Covid-19 ke hospital, ia menurun 43 peratus iaitu daripada 223 kepada 127 orang.

"Sehubungan itu, penggunaan katil Covid-19 di hospital di Johor kini hanya 994 katil iaitu 41 peratus daripada keseluruhan 2,414 kapasiti katil bukan ICU," katanya pada kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Vidyananthan berkata, ke arah fasa endemik, terdapat keperluan bagi desentralisasi pengurusan pesakit Covid-19 termasuk Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

"Sehubungan itu, terdapat perubahan tempat operasi CAC bagi Johor Bahru yang mana dua lokasi CAC sedia ada iaitu CAC Bukit Indah dan CAC Pasir Gudang akan ditutup 9 Oktober ini.

"Perkhidmatan CAC ini akan beroperasi di 13 klinik kesihatan sekitar Johor Bahru, selain pesakit positif Covid-19 perlu mendapatkan penilaian tahap kesihatan awal dengan membuat notifikasi kendiri di https://tinyurl.com/vcacjohor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 2:17 PM