GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Johor Bahru: Kerajaan negeri Johor menubuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Klinik Kesihatan (KK) Bukit Indah di sini, bagi membantu pesakit mendapatkan nasihat dan penilaian awal sebelum dimasukkan ke hospital.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, R Vidyananthan berkata, CAC itu ditubuhkan pada Ahad lalu berdasarkan keperluan semasa.

Beliau berkata, penubuhan pusat itu dijangka membantu membina polisi lengkap bagi pengurusan pesakit positif Covid-19 meliputi perawatan di rumah, dalam komuniti dan di hospital.

"Setakat 5 petang semalam, seramai 371 pesakit datang ke pusat ini dan 73 orang sesuai untuk pemantauan di rumah sebelum kemasukan ke hospital, 51 dirujuk ke hospital dan 241 discaj," katanya.

Johor adalah negeri yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Januari ini.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PKP di enam negeri berkata, negeri dikenakan PKP adalah negeri berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya hampir mencapai kapasiti maksimum.

Semalam, Johor merekodkan 442 kes baharu menjadikan kes kumulatif di negeri ini ialah 10,761 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 4:52 PM