APMM menahan sebuah kapal tangki berdaftar di Liberia (bewarna merah) di  15 Batu nautika timur laut Tanjung Penawar Kota Tinggi pada 9 September 2021.
APMM menahan sebuah kapal tangki berdaftar di Liberia (bewarna merah) di 15 Batu nautika timur laut Tanjung Penawar Kota Tinggi pada 9 September 2021.
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Dua kapal asing yang menceroboh perairan negara dengan bersauh tanpa kebenaran ditahan menerusi Op Jangkar Haram di perairan Johor Timur pada Khamis lalu dan semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua kapal berkenaan berdaftar di Liberia dan Vietnam.

Beliau berkata, penahanan dilakukan oleh aset APMM pada di 15 batu nautika timur laut Tanjung Penawar pada hari berbeza.

Menurutnya, penahanan pertama dilakukan pada jam 10.51 pagi pada 9 September lalu membabitkan sebuah kapal kargo berdaftar dari Liberia yang dikendalikan oleh 22 kru warga Filipina berusia antara 24 tahun hingga 50 tahun dan kesemua mereka didapati memiliki dokumen pengenalan diri sah.

"Tidak jauh dari lokasi kapal kargo yang ditahan itu, sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Vietnam pula ditahan pada jam 11.02 pagi semalam.

"Kapal tangki berkenaan turut membawa 27 kru warga Vietnam berusia antara 20 hingga 47 tahun serta memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kedua-dua nakhoda kapal memberi alasan kononnya mereka tidak menyedari bersauh perairan negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, siasatan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

"Pemilik dan nakhoda kapal dinasihatkan sentiasa mendapatkan maklumat yang jelas dan tepat berkaitan batas perairan negara sebelum bersauh di suatu kawasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 1:43 PM