Omar Ahmad

Johor Bahru: Sebanyak 101 kapal yang bersauh tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Johor sejak awal tahun ini, yang mana 83 buah daripadanya ditahan hasil Operasi Jangkar Haram yang bermula 24 Mac lalu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, 47 kes membabitkan 47 kapal sudah selesai pendakwaan dan didenda serta kompaun dengan nilai RM1.3 juta manakala 19 kapal membayar bon jaminan berjumlah RM1.7 juta.

Menurutnya, baki 36 kes masih dalam siasatan dan proses pertuduhan.

"Daripada 83 kapal yang ditahan dalam operasi terbabit, 30 dari Singapura, Indonesia (12), Malaysia (9), Greece (8), Hong Kong (4), Norway dan China masing-masing tiga kapal.

"India, Vietnam dan Filipina masing-masing dua kapal dan dari Amerika Syarikat (AS), Iran, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol, Belanda dan Panama masing-masing satu kapal.

"Alasan diberikan kru kapal ialah mereka mendakwa tidak tahu kawasan ia perairan negara atau tidak menyedari berada di kawasan itu. Mustahil mereka tidak tahu, apabila kapal antarabangsa pergi ke mana-mana negara, perkara utama yang perlu difahami adalah undang-undang yang dikuatkuasakan sesebuah negara.

"Alasan itu kita tidak akan pertimbangkan sama sekali dan tidak bantu untuk mereka lepaskan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia negeri Johor di sini, hari ini.

Jelas Nurul Hizam, kedudukan perairan negara menjadi lokasi kegemaran kapal bersauh kerana faktor geografi iaitu pintu keluar masuk timur dan barat serta kedalaman laut iaitu kurang 60 meter yang sesuai untuk melabuhkan sauh.

Tambah Nurul Hizam, pihaknya turut menghadapi kekangan termasuk tidak mendapat kerjasama dari kru kapal yang ditahan dengan tidak menurunkan tangga untuk anggota penguatkuasa menjalankan pemeriksaan.

"Kapal yang kita tahan ini kebanyakannya adalah kapal besar bersaiz 10 tingkat bangunan. Ada kru kapal yang tidak memberi kerjasama untuk pemeriksaan, kita akan guna 'force boarding' menggunakan helikopter dan pasukan tindakan khas maritim.

"Mereka tidak ada cara untuk melarikan diri. Operasi Jangkar Haram ini kita akan teruskan sehingga pematuhan adalah 100 peratus," tambahnya.

Menurutnya, pada 24 September lalu, dua kapal tangki berdaftar dari Mongolia yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan Johor timur, ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 5:29 PM