APMM menahan sebuah kapal berdaftar di Saint Kitts and Nevis bersauh tanpa kebenaran di Tanjung Sedili Kechil, di Kota Tinggi, semalam. FOTO IHSAN APMM
APMM menahan sebuah kapal berdaftar di Saint Kitts and Nevis bersauh tanpa kebenaran di Tanjung Sedili Kechil, di Kota Tinggi, semalam. FOTO IHSAN APMM
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Sebuah kapal tangki berdaftar di Saint Kitts and Nevis dikesan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 26 batu nautika timur di Tanjung Sedili Kechil di sini pada jam 3.36 petang semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki berkenaan ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram di perairan Johor Timur.

Beliau berkata, kapal tangki itu dikendalikan tujuh kru termasuk warga Myanmar dan Indonesia berusia antara 22 tahun hingga 59 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan

sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia.

"Kapal tangki berserta semua kru ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen

491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Sekiranya disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Nurul Hizam berkata, kapal dari mana-mana negara diharap menghormati kedaulatan undang-undang ditetapkan oleh kerajaan dan menjadikan perairan lebih aman sejahtera.

"Sejak penguatkuasaan Op Jangkar Haram dilaksanakan berlaku penurunan aktiviti

berlabuh secara haram di kawasan tompok utara yang sebelum ini menjadi

'hotspot' bagi kapal dagang.

"APMM akan meneruskan penguatkuasaan Op Jangkar Haram dan sentiasa memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negeri Johor sentiasa dipelihara," katanya menerusi siaran media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 1:50 PM