AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan sebuah kapal tangki dipercayai bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, kira-kira jam 10.30 pagi semalam. FOTO Ihsan APMM
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan sebuah kapal tangki dipercayai bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, kira-kira jam 10.30 pagi semalam. FOTO Ihsan APMM
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia/APMM) menahan sebuah kapal tangki dipercayai bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang membawa muatan Marine Gas Oil (MGO) berdaftar di Republik Guinea, Afrika, itu ditahan di kedudukan kira-kira 4.2 batu nautika Tenggara Tanjung Piai.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas kapal menerusi Op Jaksa itu mendapati, kapal berukuran sepanjang 23 meter dikendalikan enam kru termasuk nakhoda kapal.

"Semua lelaki itu adalah warganegara Indonesia yang berusia antara 22 hingga 53 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal terbabit tidak mempunyai kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia, selain semua mereka ditahan dan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 mengikut Seksyen 491B (1)(l), iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, jika didapati bersalah, pemilik dan nakhoda boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Pemilik dan nakhoda kapal diingatkan untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa Malaysia sebelum melakukan apa-apa aktiviti di perairan negara bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil.

"Pihak berkuasa sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Johor menggunakan segala sumber yang ada serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara," katanya.

Sebarang aduan jenayah maritim di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 supaya tindakan segera dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 4:33 PM