JAMBU batu dirampas di ICQS Bukit Kayu Hitam, Rabu lalu. FOTO ihsan Maqis
JAMBU batu dirampas di ICQS Bukit Kayu Hitam, Rabu lalu. FOTO ihsan Maqis
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan membawa masuk 174 kilogram (kg) jambu batu dari Thailand tanpa sijil perakuan sah.

Jambu batu yang sudah dijadikan jeruk berwarna merah dan hijau itu dirampas Maqis selepas menahan lori dari Thailand di Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada jam 6.30 petang, Rabu lalu.

Jurucakap Maqis Kedah berkata, pemeriksaan rutin pegawai penguat kuasa mendapati jambu batu bernilai RM263 itu tidak mematuhi Sijil Perakuan Pematuhan (CoC).

Katanya, jambu itu dibawa masuk bersama produk pertanian lain seperti mangga dan sayur yang mempunyai permit import serta sijil berkaitan yang sah.

"Tindakan itu dibuat bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Perbuatan mengimport tanpa CoC adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan, pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali bawah Seksyen 11(3) akta yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan di pintu masuk sempadan bagi memantau keluaran produk pertanian yang diimport ke dalam negara supaya pengimport mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan kawalan penyakit serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 11:02 AM