Barangan yang dirampas MAQIS. FOTO ihsan MAQIS
Barangan yang dirampas MAQIS. FOTO ihsan MAQIS
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan membawa masuk 5,000 kilogram 'trucal milk calcium' bernilai RM197,400 dari Singapura, menerusi laluan kargo Bangunan Sultan Iskandar (BSI), pada jam 6 petang semalam.

Jurucakap MAQIS berkata, kegiatan membawa masuk barangan berkenaan menggunakan lori terbongkar hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan.

Menurutnya, pengimport didapati tidak mematuhi syarat import iaitu gagal mengemukakan sijil kesihatan dari negara asal sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.

"Susulan itu, pemandu lori yang berusia 46 tahun diambil keterangan sebelum dilepaskan. Semua barang dagangan ditahan untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan media.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.

Tambanya, sekiranya disabitkan kesalahan, pengimport berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

"MAQIS akan sentiasa teliti dalam menjalankan pemeriksaan ke atas setiap dagangan yang diimport dan dieksport.

"Ia bagi mengelakkan kemasukan dagangan yang diimport bersama penyakit dan perosak yang boleh menjejaskan negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 11:07 PM