MAQIS Selangor merampas 3,546 karton hasilan tenusu (ais krim) bernilai RM26,000 di Pelabuhan Klang Barat, pada Sabtu lalu. FOTO ihsan MAQIS
MAQIS Selangor merampas 3,546 karton hasilan tenusu (ais krim) bernilai RM26,000 di Pelabuhan Klang Barat, pada Sabtu lalu. FOTO ihsan MAQIS
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas 3,546 karton hasilan tenusu (ais krim) di Pelabuhan Klang Barat, pada Sabtu lalu.

Semua hasilan tenusu (ais krim) yang diimport dari negara China itu yang dianggarkan bernilai RM26,000.

Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS mendapati, sebanyak 12,800 kilogram hasilan tenusu yang dibawa masuk oleh syarikat tempatan itu gagal mengemukakan dokumen Permit Import yang sah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MAQIS sentiasa menekankan pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengutamakan keperluan dan suara rakyat adalah amat penting dalam menyahut cabaran keterjaminan makanan negara.

"Dalam hal ini, pendekatan secara 'bottom-up' dan 'top-down' akan terus dilaksanakan oleh kerajaan secara strategik.

"Pihak MAQIS juga menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 11:16 AM