Foto hiasan
Foto hiasan
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun menjadi punca tercetusnya Kluster Kampung Tok Junuh Mahligai di Bachok, Kelantan yang kini sudah menjangkiti 13 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks mula mengalami gejala pada 25 Julai lalu sebelum disahkan dijangkiti Covid-19 pada 29 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.

"Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Tok Junuh Mahligai, Melor di Bachok.

"Sehingga kini, sebanyak 28 individu sudah disaring dan daripada jumlah itu 13 kes sudah dijangkiti termasuk satu kes yang dilaporkan hari ini," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster komuniti berkenaan adalah satu daripada 23 kluster baharu yang dikesan hari ini.

Beliau berkata, hari ini terdapat 11 kluster membabitkan tempat kerja, lapan dalam kalangan komuniti, dua kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu kluster institusi pendidikan dan pusat tahanan.

Sementara itu, terdapat 160 kes kematian yang dilaporkan hari ini dan ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini ialah 9,184 kes.

Seperti sebelum ini Selangor kekal mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu hari ini dengan 55 kes dilaporkan, Kuala Lumpur (25), masing-masing 14 kes di Negeri Sembilan dan Johor, manakala 10 kes masing-masing di Melaka dan Kedah.

Selain itu, Pahang mencatatkan lapan kes kematian, Sabah (tujuh), Pulau Pinang (enam), masing-masing empat kes di Kelantan dan Perak serta tiga kes di Terengganu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sehingga 12 tengah hari ini terdapat 11,326 kes sembuh dicatatkan dan ia menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah 925,965 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 8:28 PM