GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 14 lokaliti di Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Sabtu ini sehingga 27 Ogos.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pelaksanaan PKPD itu membabitkan enam lokaliti di Kelantan, lima di Sabah, dua di Pahang dan satu di Sarawak.

"PKPD di Kelantan membabitkan lima kampung di Pasir Mas iaitu Kampung Chenerai, Kampung Lubok Kawah, Kampung Pohon Tanjong, Kampung Pak Jak dan Kampung Landar (sebahagian kampung sahaja).

"Satu lagi adalah Kampung Kubang Sawa di Tumpat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pelaksanaan PKPD di Sabah, Hishammuddin berkata, ia membabitkan dua lokaliti di Keningau iaitu Kilang dan Kuarters Pekerja Bumi Timber Sdn Bhd, Batu 27, Jalan Sook serta Perusahaan dan Kuarters Pekerja Kosinar Sdn Bhd, Batu 28, Jalan Sook.

Beliau berkata, tiga lagi lokaliti adalah Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu; Kampung Pengiran, Sipitang; dan Kampung Wokok Kinuta, Kota Belud, Sabah.

Katanya, dua lokaliti di Pahang dikenakan PKPD masing-masing Kampung Bongkok, Daerah Bera dan Kampung Gadak, Daerah Rompin manakala di Sarawak membabitkan Kuarters Pekerja Sri Datai Mining Sdn Bhd, Mukah.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan beberapa PKPD yang sepatutnya tamat esok iaitu Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling, Kedah; Apartment Amber Court dan Tapak Bina Grand Ion Delemon, Genting Highlands, Pahang; Kampung Wek Batu 23, Labok, Machang, Kelantan dan Kampung Gambaron 2, Telupid, Sabah.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, penelitian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan 15 lokaliti PKPD lagi akan ditamatkan mulai esok.

Beliau berkata, ia membabitkan Kampung Padang Kubu, Mukim Tebak, Kemaman, Terengganu; Kampung Seratau, Bahagian Kuching, Sarawak; Felda Sungai Koyan 3, Mukim Ulu Jelai, Lipis, Pahang dan Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan.

"Turut ditamatkan Perumahan Sabah Forest Industry (SFI), Sipitang; Kampung Lembah Permai; Kampung Pugi Gunsapou; Kampung Bayangan & Kampung Purakagis, Keningau; Kampung Marintaman, Sipitang; Kampung Tembidong-Bidong, Telupid dan Kampung Airport Lama, Tawau yang kesemuanya di Sabah.

"Selebihnya empat lokaliti di Perak iaitu Kampung Biak Hilir, Mukim Bandar; Kampung Biak Darat, Kampung Biak Barok dan sebahagian Kampung Pasir Salak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 7:02 PM