Kuala Lumpur: Sebahagian besar mukim di lapan daerah di Selangor dan beberapa lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Sabtu ini.

Ia susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan trend jangkitan Covid-19 yang tinggi dengan Selangor melaporkan purata antara 1,800 ke 1,900 kes, manakala WPKL dalam lingkungan 600 ke 1,000 kes.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah terkini itu akan berkuat kuasa sehingga 16 Julai dengan semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh Polis Diraja Malaysia.

"KKM telah membuat pembentangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai situasi Covid-19 di Selangor dan WPKL, yang mana unjuran kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) kedua-dua negeri masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak menurun.

"Jadi mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan PKPD bersasar di lokaliti berikut, WPKL yang membabitkan lokaliti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak; PPR Batu Muda; Flat Seksyen 2 Wangsa Maju; Flat Seksyen 1 Wangsa Maju; Kampung Padang Balang; Taman Koperasi Polis (Fasa 1& 2) dan Flat Sri Sabah.

"Turut termasuk, Kampung Puah; PPR Kampung Baru Air Panas; Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri & Dilema); Kampung Batu Muda; PPR Kerinchi; Taman Ikan Emas dan Bandar Baru Sentul.

"Manakala PKPD di Selangor membabitkan Daerah Petaling yang merangkumi Mukim Petaling, Damansara, Sungai Buloh dan Bukit Raja; Daerah Hulu Langat bagi Mukim Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang dan Hulu Langat," katanya dalam kenyataan hari ini.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Jelasnya, Daerah Sepang yang terbabit PKPD adalah Mukim Dengkil, Labu dan Sepang; manakala, Daerah Gombak (Mukim Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang dan Kuang); sementara Daerah Kuala Langat (Mukim Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), dan Teluk Panglima Garang).

Termasuk dalam Kuala Langat adalah Mukim Morib, Bandar, Jugra dan Mukim Batu; selain Daerah Klang membabitkan Mukim Kapar dan Klang; Daerah Kuala Selangor (Mukim Ijok, Bestari Jaya dan Jeram); dan Hulu Selangor (Mukim Serendah, Rasa, Ulu Yam dan Batang Kali).

Berita berkaitan

PKPD KL, Selangor: Boleh rentas daerah, negeri untuk vaksinasi

PKPD KL, Selangor: Peniaga makanan dibenar beroperasi setakat 8 malam

SOP terkini bagi PKPD KL, Selangor

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:16 PM